WALAUPUN sibuk dengan jadual padat dalam saingan kejuaraan MotoGP, tetapi itu tidak menghalang pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi untuk mencurah ilmu dengan melatih pelumba-pelumba muda menerusi penubuhan Akademi SuperKIP Racing.
Selain memberi latihan, akademi yang berpusat di Kampung Gajah, Perak itu turut melangkah jauh dengan membuat keputusan untuk beraksi dalam pentas perlumbaan profesional negara, kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bermula 2018 dalam kategori CP115 dan Wira.
Antara barisan pelumba muda yang bakal membawa cabaran Akademi SuperKIP Racing terdiri daripada adiknya, Anuar Ibrahim Pawi, Md Afizat Supaat, Md Amer Rossi Amidi dan gandingan adik beradik, Md Hazim dan Md Haziq Rosmaza.
“Pemilihan pelumba sudah dilakukan sejak pertengahan musim kejuaraan Cub Prix 2017, di mana kami melihat dan menilai mereka yang berpotensi bersaing.
“Selepas menyenaraikan beberapa pelumba, kami menjemput mereka untuk menjalani sesi latihan bersama sebaik kejuaraan Cub Prix berakhir di Johor, November lalu.
"Kami juga melakukan pendekatan berbeza yang mana pelumba perlu menjalani latihan intensif, manakala tempat tinggal turut disediakan,” jelas pelumba berusia 19 tahun itu.
BACA >>> Kasma Daniel Juara Keseluruhan CP150 Cub Prix 2017 - Yamaha Y15ZR Terbukti Pantas!
SASARAN AWAL
Mengulas mengenai sasaran terhadap kesemua pelumba, Khairul berkata, “ ini tahun pertama pasukan bersaing di Cub Prix manakala pelumba juga beraksi buat pertama kali di dalam kelas lebih tinggi.
" Kami tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi. Cukup jika dapat menempatkan diri di kelompok lima pelumba terbaik, dan satu pencapaian membanggakan jika mereka dapat menaiki podium.
“ Saingan sangat sukar. Tambahan pula terpaksa berdepan pasukan dan pelumba lebih berpengalaman termasuk bekas pasukan saya, Idemitsu Kozi Yam Honda Racing. Saingan pastinya hebat dan saya harap pelumba dapat menimba pengalaman berguna pada tahun ini,” ujarnya semangat.
BAPA SEBAGAI PENGURUS PASUKAN
Sementara itu, bapa Khairul, Pawi Omar bertindak sebagai pengurus pasukan berkata, rancangan menubuhkan akademi ini timbul selepas kejayaan Khairul memenangi perlumbaan Moto3 di Argentina dan Jerman.
"Pada peringkat awal, Akademi SuperKIP Racing diwujudkan untuk memberi tunjuk ajar kepada remaja setempat yang berminat dengan perlumbaan sebelum membuat keputusan untuk pergi lebih jauh.
“Cara bagaimana kami membentuk Khairul selama ini akan digunakan pula kepada pelumba lain. Paling penting, sokongan keluarga pelumba itu sendiri.
"Kami gembira kerana keluarga pelumba yang ada dalam akademi ini memberi sokongan sepenuhnya, dan sanggup melepaskan anak mereka untuk tinggal bersama kami bagi menjalani latihan dan persediaan menghadapi perlumbaan Cub Prix nanti,” jelas Pawi lagi.
Leave a Reply