TAHUKAH anda, syarikat pengeluar motosikal terkemuka dari Austria, KTM pernah bangkrap pada 1991?
Tidak mudah mengalah, tahun berikutnya (1992) KTM bangkit semula dan hari ini selepas lebih 25 tahun, jenama Austria itu menjadi pengeluar motosikal nombor satu di Eropah dengan angka jualan mengatasi Ducati (Itali) dan Triumph (British).
Bagaimana mereka berjaya lakukannya? KISKA.
BACA >>> 9 Aksesori KTM yang Unik, Turut Keluarkan Seluar Dalam
Berikut 10 fakta menarik tentang KISKA, iaitu firma konsultansi rekabentuk terkemuka Eropah yang bertanggung jawab di sebalik rekabentuk baharu KTM hingga menaikkan semula jenama tersebut. Malah, KISKA turut terbabit dalam industri rekabentuk di luar dunia automotif seperti pakaian sukan, perkakasan rumah, lampu jalan dan sebagainya.
1. KISKA ditubuhkan Gerald Kiska pada 1990 sebagai firma perseorangan dengan menumpukan kepada penghasilan rekabentuk produk.
2. Pada 1991, sebelum diisytiharkan bangkrap pada tahun sama, KTM menganjurkan pertandingan rekabentuk motosikal berasaskan enjin silinder tunggal 4-lejang LC4 dan dimenangi Kiska dengan pasukan kecilnya, terdiri daripada lima pekerja.
3. KISKA terlibat dalam penghasilan rekabentuk produk KTM sejak 1992, selepas kelahiran semula KTM AG (sebelum itu KTM Sportmotorcycle AG) di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stefan Pierer hingga sekarang, selepas 25 tahun.
4. Produk pertama KISKA bersama KTM ialah streetbike 620 Duke yang dilancarkan pada 1994. Rekabentuk dengan tayar berukuran 120/70-17 (depan) dan 160/60-17 (belakang) menjadi standard saiz roda dan tayar kepada jentera Duke hingga hari ini.
5. Setakat 2016, KISKA mempunyai 150 pekerja dari 28 negara dengan fasiliti sebesar 5,000 meter persegi yang terletak di kaki gunung Untersburg di Anif, Austria. Sememangnya suasana yang cukup sesuai bagi merangsang kreativiti para pekerja mereka.
6. Bukan setakat rekabentuk motosikal, KISKA turut menguruskan segala aspek pembangunan dan pelancaran, termasuk identifikasi strategik, konsep rekaan, pembuatan hingga rekaan laman web dan material jualan.
7. KISKA turut ditugaskan menghasilkan video pelancaran produk baru KTM. Video pelancaran 'The Beast' untuk KTM Super Duke R 1290 adalah hasil kreativiti firma konsultansi rekabentuk itu 100 peratus.
8. Duke 125/200/390 adalah maklum balas KTM kepada penunggang muda di Eropah yang mahukan motosikal lebih besar, tetapi hajat mereka terhalang peraturan sistem perlesenan tempatan. Jadi, selain perbezaan sesaran enjin, 125 Duke hingga 390 Duke menampilkan rekabentuk dan prestasi pengendalian yang hampir setaraf.
9. KISKA sangat berpegang teguh kepada moto KTM, 'READY TO RACE'. Tidak hairanlah selain model 390 ke bawah yang disasarkan kepada penunggang baru, semua motosikal KTM dibina untuk satu tujuan - PERLUMBAAN!
10. Selain motosikal dan kereta berjenama KTM (ya, KTM turut mengeluarkan kereta menerusi model X-Bow), rekaan KISKA turut boleh dilihat pada motosikal Husqvarna, Bajaj (India), CFMoto (China), termasuklah produk harian daripada Braun (jenama penjagaan konsumer), Adidas (jenama pakaian sukan) dan Osram (jenama produk lampu).
BACA >>> CFMoto Perkenal Konsep Streetfighter V.02-NK dengan Kerjasama KTM
Leave a Reply