ADA pembaca yang terkeliru antara Quick Shifter (QS) dan transmisi semi automatik (SAT) yang banyak digunakan motosikal jenis kapcai/moped/underbone. Dalam terma tempatan SAT juga dipanggil 'klac hidup' atau 'klac auto'. Kami akan terangkan perbezaan tersebut secara ringkas.
Perbezaan utama, QS ialah peranti, dan bukan jenis transmisi seperti SAT.
Walaupun QS dan SAT memiliki ciri sama, iaitu tidak memerlukan penunggang menarik tuil klac tangan, tetapi SAT masih memerlukan penunggang menutup terotel sebelum menukar gear, sebaliknya QS tidak perlu. Penunggang motosikal QS boleh terus menukar gear ketika memulas terotel.
BACA >>> #TahukahAnda: Apakah Itu 'Quick Shifter' untuk Motosikal?
SAMA, TAPI TIDAK SERUPA
Sebenarnya, penunggang motosikal SAT juga boleh melakukan aksi sama seperti QS (perkara biasa dilakukan mat rempit ketika melakukan aksi drag di lampu isyarat), tetapi tindakan itu berisiko merosakkan transmisi jika kerap dibuat sesuka hati tidak kira tempat dan masa, terutama selepas balik tengok race di Sepang.
Percayalah, walaupun orang kampung anda itu terkenal sebagai jaguh rempit peringkat daerah, dia sendiri pun tidak sanggup menukar gear tanpa menutup terotel untuk tunggangan harian. Lainlah kalau dia seorang anak hartawan yang bersedia menukar motosikal baru setiap 2-3 bulan sekali.
QUICK SHIFTER ITU APA SEBENARNYA?
Lebih perincian, QS ialah teknologi moden dalam bentuk peranti (lihat gambar) yang asasnya dibikin khas untuk motosikal prestasi tinggi. Sebab utama penciptaan teknologi QS adalah mengurangkan sela masa anjakan gear ketika berlumba. QS dapat mengurangkan masa anda ketika menukar gear, membabitkan proses menarik tuil klac (guna tangan kiri), menutup terotel, memasukkan gear (guna kaki kiri) dan melepas klac sambil memulas semula terotel. Semua proses tersebut tidak dapat dibuat sepantas 0.15 saat pun. Sebab itulah QS dicipta.
Konfigurasi peranti QS itu pula terdiri daripada set sensor yang mampu mengecam tekanan pada rod anjakan gear dan kemudian bertindak menghantar isyarat (sepantas di bawah 50 milisaat) kepada ECU sama ada untuk menghentikan bekalan bahan api atau menyekat nyalaan (ignition) pada palam pencucuh.
Ini menjadikan proses anjakan gear lebih lancar, lembut dan aman sentosa serta kurang membebankan enjin berbanding situasi yang berlaku pada gear SAT, ataupun klac manual tanpa QS yang pasti tersentak atau tersengguk.
Majoriti anjakan gear dalam QS beroperasi secara dua hala, dipanggil bi-directional QS, iaitu untuk anjakan gear naik (upshift) dan turun (downshift). Namun, ada sesetengah motosikal, seperti Kawasaki Ninja ZX10R (2016) misalnya, cuma menawarkan ciri QS sehala atau mono-directional QS yang khas untuk anjakan naik gear sahaja.
QUICK SHIFTER AFTERMARKET?
Memang ada peranti QS aftermarket di pasaran dan dalam scene permotoran tempatan, produk itu banyak digunakan pasukan lumba yang berentap dalam siri perlumbaan Cub Prix dan sirkit tempatan lain. QS juga boleh dipasang pada motosikal biasa, termasuk kapcai tetapi lebih kepada faktor kosmetik semata-mata.
Dari segi rasional, motosikal biasa memang tiada keperluan untuk dipasangkan teknologi QS melainkan dia seorang Bruce Wayne yang perlu cepat sampai ke lokasi kecemasan kerana Batpod tiada lampu strob (supaya orang awam beri laluan) seperti motosikal peronda polis.
BACA >>> Motosikal Batman Dilelong, Harga Batpod Dijangka Cecah Lebih RM400K!
QS boleh juga dikategorikan sebagai teknologi kosmetik, sama seperti ciri pedal syif untuk kereta. Maksudnya, teknologi yang sangat diperlukan ketika berlumba, tetapi bukan prioriti untuk kenderaan biasa. Namun, sudah jadi seakan ciri wajib kenderaan premium.
Sebab itu kita dapat menyaksikan ciri QS bukan saja dimiliki superbike jalanan (rasionalnya, pemilik superbike memang gunakan motosikal mereka untuk berlumba trek), tetapi turut dipasang jentera lain seperti touring dan cruiser.
joehaz says
oo kalau pasang QS, masa tukar gear tak payah lepas throttle la. baru tau.
tapi long term effect transmisi tak rosak ke tuan?
sub_zero says
Nope, QS is to mitigate the throttle shifting, hence no or barely any side effects on transmission.
Naz says
Ada kah enjin akan mati lepas pakai qs seperti clucth biasa