HYUNDAI-Sime Darby Motors (HSDM) memperkenalkan model sedan premium terbaharunya, Hyundai Genesis yang dijual pada harga RM399,888 (termasuk insurans dan GST).
LUARAN - Mengiurkan
Melihat keseluruhan tubuh badan Genesis, ia tampil dengan rekaan yang mantap, menarik dan mengiurkan. Sama seperti model Sonata, model sedan premium ini juga hadir menerusi rekaan Fluidic Sculpture 2.0 dengan kejuruteraan moden menjadikan ia tampak sporty dan menarik.
Bukan saja tampak sporty, kehadiran garisan sisi membuatkan Genesis bersifat aerodinamik untuk membelah angin ketika beraksi di jalan raya.
Untuk tampak lebih bergaya, Genesis dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18-inci selain pembukaan but belakang secara automatik apabila pemandu berada di belakang selama tiga saat di mana kunci harus berada di tangan mahupun poket.
Memasuki 'perut' Genesis, anda akan 'dihidangkan' dengan kekemasan dan kemewahan. Ruang kokpit dibina berdasarkan Human Machine Interface (HMI), susunan butang-butang kawalan di ruangan papan pemuka dan konsol tengah membuatkan ia mudah dikendali.
Untuk memudahkan pemandu, ia turut didatangkan dengan sistem paparan Head-Up Display (HUD) yang memaparkan pelbagai maklumat penting seperti kelajuan dan jarak di antara kereta hadapan tanpa memerlukan si pemandu mengalih pandangan daripada jalan raya.
Bagi ruangan hiburan, ia dilengkapi sistem multimedia dengan paparan skrin sesentuh bersaiz 8-inci bersama 14 pembesar suara Lexicon. Ia juga boleh disambung kepada telefon pintar pada bila-bila masa selain menyokong sambungan USB, Bluetooth, kamera undur dan Micro SD card.
PRESTASI – 3.8L V6 GDI
Aspek prestasi, Genesis dijana unit enjin bersesaran 3.8L V6 GDI. Dengan bantuan kotak gear automatik 8-kelajuan, ia mampu menghasilkan kuasa 313hp pada 6,000rpm dan tork puncak 397Nm (5,000rpm). Pecutan dari sifar ke 100kmj pula hanya mengambil masa sepantas 6.5 saat.
Bagi menawarkan pengalaman pemanduan yang berbeza, Genesis disertakan tiga mod pemanduan iaitu Eco , Normal dan Sports. Setiap mod pemanduan adalah berbeza mengikut kondisi jalan dan kehendak pemandu itu sendiri.
Tidak melupakan aspek keselamatan, Genesis mendapat poengiktiran 5-bintang daripada ANCAP. Ia didatangkan pelbagai teknologi keselamatan terkini seperti sembilan beg udara, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Kawalan Stabiliti Elektronik (ESC), Sistek kawalan Traksi (TCS) dan Kawalan Bantuan Pendaki (HAC).
Hadir dalam tiga warna menarik iaitu Marble White, Platinum Silver dan Onyx Black, Hyundai juga menawarkan program jaminan lapan tahun atau 300,000 perbatuan (mana tiba dulu).
Tidak setakat itu, ia turut menawarkan servis percuma selama lima tahun atau 100,000km perbatuan (mana tiba dahulu) selain percuma dua tahun keahlian Genesis The Leader yang membolehkan ia menikmati pelbagai kemudahan menarik di Lapangan Terbang KLIA, KLIA2 dan Subang Skypark.
Leave a Reply