BUKAN sebarang pisau bedah, 'The Scalpel' atau jentera dwi silinder 799cc terbaharu KTM, 790 Duke baru saja dilancarkan di Britain dengan tanda harga £8,499 (RM46,600), sekali gus meletakkan jentera itu untuk bersaing dengan streetfighter 4-silinder 900cc popular, Kawasaki Z900, berharga £8,399 (RM46,000).
Memang tidak sukar mengagak kenapa jentera KTM masih lebih mahal berbanding streetfighter 4-silinder Kawasaki. Hamburan kuasa 105hp dan 86Nm tork daripada nadi dwi-silinder The Scalpel nyata kekal padu, apatah lagi dipadankan dengan berat basah cuma 189kg, dan rekabentuk badan lebih ramping yang menjadikan ia senjata jalanan paling efektif, cukup berkuasa dan lincah meratah setiap liku dan selekoh dihidangkan.
Bukan setakat berkuasa, 790 Duke turut dilengkapi ciri canggih dan mewah seperti berikut:
- Teknologi Ride-by-Wire dengan 4 mod tunggangan - Sport, Street, Rain dan Track (mod kustom individu).
- Mod Supermoto - mod berasingan yang membenarkan penunggang menyahaktif kawalan traksi dan ABS (Sistem Brek Anti-Kunci) pada roda belakang.
- Paparan meter digital LCD TFT berwarna dengan sokongan aplikasi sambungan telefon pintar, MY RIDE.
- Bar hendal boleh laras 12 tetapan.
- Peredam stereng sebagai standard untuk menyahkan situasi stereng gelupur atau tank slapping.
- Kawalan elektronik penuh, terdiri daripada kawalan traksi mengesan sudur miring, ABS belokan, regulasi gelincir motor, kawalan wheelie dan kawalan luncur.
- Quick Shifter, tidak perlu lagi menukar gear menggunakan klac!
Dengan anggaran harga tempatan sekitar RM50,000, streetfighter terbaru KTM ini pasti jadi pilihan terbaik buat mereka yang mengidamkan jentera berkuasa tinggi yang tidak terlalu buas dan lebih mampu milik.
Bakal masuk Malaysia? Mungkin ya jika mengambil kira rekod cemerlang KTM Malaysia selama ini dalam memperkenalkan model-model baharu jenama itu. Bila? Anda perlu tunggu pengumuman rasmi KTM Malaysia akan datang. Kami sudah beritahu awal-awal, jangan kata tidak sempat menabung pula nanti 😉
Leave a Reply