"BERI saya masa tiga tahun. Dalam tempoh ini, saya yakin kualiti dan persepsi pengguna terhadap Proton akan berubah," demikian janji Naib Presiden Pembuatan, Yoshiya Inamori.
Menurut Inamori, beliau akan menggunakan pengalamannya sepanjang 35 tahun dalam industri automotif bagi membantu Proton kembali ke landasan tepat dalam pembuatan kenderaan lebih berkualiti.
"Isu kualiti ialah cabaran utama. Saya mahu mengubah persepsi buruk orang ramai terhadap Proton dengan menghasilkan kenderaan lebih berkualiti.
"Perkara pertama yang saya lakukan selepas menyertai Proton pada 1 Oktober lalu adalah memperbaiki segala kelemahan yang ada. Selepas hampir dua bulan, saya dapat melihat perubahan ketara dari segi kualiti dan penghantaran kenderaan kepada pelanggan tepat pada masa.
"Bukan saja pada model yang akan diperkenalkan kelak, kami turut memperbaiki dan memastikan kualiti pada model sedia ada juga berada pada tahap paling baik.
"Paling penting, saya mahu pelanggan kami dapat pengalaman menyeronokkan selepas beli kenderaan Proton," tambahnya lagi.
MAHU LETAK PROTON NOMBOR 1 DI MALAYSIA
Sebelum menyertai Proton, jawatan terakhir beliau ialah Naib Presiden PCMA (syarikat kerjasama antara Peugeot dan Mitsubishi Motors Corporation) di Rusia. Sepanjang empat tahun (2013-2017) memegang jawatan itu, Inamori diminta menguruskan keseluruhan operasi kilang dengan memberi latihan kepada 3,000 pekerja selain mengembangkan perniagaan di negara berkenaan.
Namun pada 2014, Inamori berdepan krisis kegawatan ekonomi hingga memaksa syarikat itu mengurangkan pekerja. Bagaimanapun, Inamori berjaya memulihkan syarikat berkenaan sehingga mencatatkan keuntungan pada 2017.
Ketika ditanya kenapa memilih untuk menyertai Proton, Inamori dengan yakin menyatakan beliau mampu mengembalikan zaman kegemilangan Proton dan bertekad mahu meletakkan jenama nasional itu di kedudukan nombor satu.
“Berikan kami masa, saya yakin mampu lakukan!” kata Inamori penuh optimis.
Nizam says
Jaga kualiti dan mempunyai design dan rekabentuk yang cantik seperti kereta korea Selatan. Baru dunia minat nak beli kereta Proton.
afishah says
Kualiti & design memainkan peranan penting dlm dunia permotoran. Service lepas jualan mesti juga kualiti dgn alat ganti yg asli di jamin berkualiti. Kalau semua aspek di atas tidak berkualiti tidak ada bermakna utk bersaing dlm dunia permotoran.