EDARAN Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) membuka pusat 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) Johor Jaya, di Johor Bahru yang juga terbesar di Malaysia.
Dengan menelan kos pelaburan sebanyak RM25.5juta, majlis pelancaran disempurnakan oleh Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Abdul Rahman Mohamed Dewam sambil disaksikan Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr Ang Bon Beng.
Pusat 3S Johor Jaya yang dibina atas tanah 2.15 ekar dengan ketinggian enam tingkat itu akan menjadi pusat sehenti buat Nissan.
Memiliki lebih daripada 400 ruang parkir, pusat 3S ini dilengkapi bilik pameran luas, Pusat MUV Kenderaan Terpakai Bertauliah, Divisyen Sewa Beli dan Insurans, Pusat Pengedaran Kenderaan dan Pusat Servis yang membolehkan pemilik melakukan servis serta mendapatkan alat ganti untuk kenderaan Nissan mereka.
Bagi ruangan servis, ia dilengkapi 36 ruang penyelenggaraan dengan kapasiti menjalankan penyenggaraan sehingga 150 buah kenderaan sehari.
Menurut Ang, pusat 3S Mega Johor Jaya ini adalah testimoni kepada falsafah kami yang mendahulukan pelanggan.
Tambahnya, Nissan sentiasa berusaha untuk memberi keselesaan dan kemudahan kepada pelanggan, dan pada masa yang sama komited memberikan produk yang inovatif, serta perkhidmatan servis terbaik bagi kepuasan pelanggan.
Sehingga kini, ETCM memiliki rangkaian ekstensif 100 buah bilik pameran yang merangkumi pengedar dan 60 bengkel Tan Chong Express Auto Service (TCEAS) di seluruh negara. ETCM mensasarkan untuk mempunyai 20 pusat 3S di seluruh Malaysia menjelang akhir 2015.
Leave a Reply