BULAN-bulan penghujung tahun ialah musim anugerah Kereta Terbaik atau Car of the Year (COTY). Institut Automotif Malaysia (MAI) selaku badan utama dalam industri automotif tempatan turut menganjurkan anugerah COTY baru-baru ini yang memillih Honda Jazz Hybrid sebagai Kereta Terbaik Malaysia 2017.
Ireland turut tidak ketinggalan dalam menganjurkan malam anugerah COTY dengan kerjasama Continental Tyres pada 9 November lalu di Hotel Gibson, Dublin.
Keputusannya, anugerah Kereta Terbaik Ireland (ICOTY) 2018 dimenangi Peugeot 3008 baharu, yakni model sama yang dipasarkan di Malaysia dengan mendapat sambutan luar jangka dan sudah pun kami pandu uji sebelum ini. Malam anugerah itu adalah anjuran penulis, wartawan, dan jurnalis permotoran daripada pelbagai media cetak, online dan penyiaran dengan dihadiri tokoh industri, wakil pengeluar, pengimport dan pengedar dari seluruh Ireland.
Malah, Peugeot 3008 bukan saja dianugerahkan COTY 2018, tetapi juga mendapat gelaran Crossover Terbaik Ireland 2017.
Ahli jawatankuasa ICOTY, Michael Sheridan berkata, kemenangan Peugeot 3008 itu boleh dianggap pencapaian unggul memandangkan tahun ini terdapat 60 model baharu dilancarkan di Ireland. Ini bermakna persaingan di negara Eropah itu sangat sengit kerana pasaran yang begitu terbuka, sekali gus membuktikan ada sesuatu yang istimewa tentang 3008 hingga menjadi pilihan 30 jurnalis permotoran di Ireland.
SENARAI PEMENANG ANUGERAH COTY IRELAND 2018
- Kia Picanto - Kereta Bandar Terbaik
- Nissan Micra - Kereta Kecil Terbaik
- Honda Civic - Kereta Kompak Terbaik
- Alfa Romeo Giulia - Kereta Medium Terbaik
- BMW 5 Series - Kereta Eksekutif/Premium Terbaik
- Peugeot 3008 - Crossover Kompak Terbaik
- Skoda Kodiaq - Crossover Besar Terbaik
- Toyota Prius PHEV - Kereta Hijau/Efisien Terbaik
- Alfa Romeo Giulia QF - Kereta Prestasi/Sport Terbaik
- Honda Civic Sensing Suite - Anugerah Inovasi Kereta Tahunan
Leave a Reply