SELAIN melancarkan 2 Series Coupe, BMW Group Malaysia turut melancarkan varian 4 Series Convertible menerusi model 428i Convertible sempena BMW Open Malaysia 2014. Model pengganti BMW 3 Series Convertible ini terus mewarisi rupa jentera berbumbung boleh dibuka bersama nilai estetika dan dinamik tersendiri. Selain prestasi dipertingkatkan, 4 Series Convertible adalah model paling menarik dan menawan dalam segmen kompak eksekutif.
Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Dr Gerhard Pils berkata, pengenalan model terbaharu ini mengukuhkan lagi kejayaan model 3 Series dalam mempertahankan penguasaannya selaku peneraju segmen sejak dilancarkan 1986. Menurutnya, BMW 4 Series Convertible serba baharu memiliki segala yang diperlukan, sekali gus menjanjikan keseronokan pemanduan.
"Kami yakin penambahan ahli keluarga baharu BMW ini mampu mengukuhkan posisi sebagai pembuat kenderaan premium nombor satu negara ini. Suku pertama 2014, kami menjual 1,972 unit kenderaan, merangkumi 1,735 BMW, 132 MINI dan 108 BMW Motorrad," katanya.
PRESTASI
Dipadankan teknologi BMW TwinPower Turbo bersama transmisi automatik 8-kelajuan, enjin 4-silinder bersesaran 2.0L mampu menghamburkan kuasa 245hp dan tork 350Nm. Pecutan statik hingga 100kmj mampu dilakukan dalam 6.4 saat dengan kelajuan maksimum, 250kmj. Penggunaan bahan api pula mencatatkan 6.6L per 100km dengan emisi 154g/km. Jika mahukan pengalaman pemanduan berbeza, pilihlah tiga ciri BMW EfficientDynamics berbeza, Sailing, Route-Ahead Assistant dan ECO PRO Route.
Didatangkan dalam versi standard bersama barisan Luxury, 428i Convertible serba baharu menggunakan rim aloi ringan multijejari 18-inci, manakala kemasan luaran barisan ini datang bersama kemasan krom dan trim dalaman Fineline Anthracite yang cukup menyerlah. Turut mempesona adalah sistem bunyi hi fi dikuasakan sembilan unit pembesar suara.
Bumbung jentera ini pula boleh dibuka dan ditutup yang dikawal menerusi butang kawalan pada bahagian konsol tengah. Dalam tempoh masa 20 saat, bumbung yang dibuka akan disimpan sepenuhnya di ruangan but.
Pelbagai penambahbaikan, termasuk aspek mekanikal bumbung turut diutamakan. Bumbung boleh direndahkan apabila bergerak pada kelajuan sehingga 18 kmj. Halangan angin kenderaan dengan bumbung dipasang 0.28 cd dan kadar itu hanya menjadi 0.33cd apabila bumbung dilipat. Apabila tidak digunakan, penghalang angin boleh disimpan di belakang tempat duduk belakang untuk menjimatkan ruang dan inilah antara ciri baharu 4 Series Convertible.
BUT LUAS
Walaupun bumbung disimpan dalam but, ruangan simpan barang masih luas. Dengan keluasan 220L, posisi bumbung dalam but boleh dilaras mengikut kesesuaian. Namun apabila bumbung dibuka sepenuhnya, volum ruangan simpan barang bertambah menjadi 370L, iaitu 20L lebih luas berbanding model 3 Series Convertible.
Ruang kabin dipadankan material berkualiti tinggi selain tempat duduk ergonomik. Ambien premium kereta ditingkatkan melalui stereng sport dan set tempat duduk belakang boleh dilipat untuk menghasilkan ruang kargo lebih besar. Fiil menyenangkan nyata dikekalkan sama ada ketika bumbung dibuka atau tutup. Dengan harga jualan RM428,800 (tidak termasuk insurans), BMW 428i Convertible menawarkan empat pilihan warna menarik; hitam, putih, biru dan kelabu.
SPESIFIKASI
ENJIN 2.0L 4-silinder bersama teknologi BMW TwinPower Turbo
TRANSMISI Automatik 8-kelajuan
KUASA MAKSIMUM 245hp
TORK MAKSIMUM 350Nm
0-100KMJ 6.4saat
KELAJUAN MAKSIMUM 250kmj
CIRI Bumbung boleh dibuka, rim aloi ringan multijejari bersaiz 18-inci, sistem bunyi hi fi dengan 9 unit pembesar suara.
HARGA RM428,800 (tidak termasuk insurans)
Leave a Reply