LAGI berita gembira untuk peminat motosikal KTM yang mungkin sudah bosan menunggang jentera satu silinder, tetapi kurang mampu menaik taraf kepada SuperDuke 1290. KTM 790 Duke, streetfighter 2-silinder sebaris sulung keluaran dari Austria itu kini sah diperkenalkan di Milan, Itali semalam untuk pasaran antarabangsa tahun hadapan.
Diberi kod nama LC8c, enjin dwi-silinder sebaris 799cc itu dikatakan mampu menghambur kuasa setinggi 103hp pada 9,000rpm, dan tork 86Nm (8,000rpm). Dengan berat kering 168kg (anggaran 188kg berat basah), cukup meletakkan 790 Duke setanding jentera streetfighter kategori middleweight lain seperti Kawasaki Z800 dan Triumph Street Triple.
Seperti mana-mana jentera KTM terdahulu, 790 Duke dilengkapi suspensi terbalik (USD) daripada WP di depan dengan monoshock boleh laras di belakang. Ini ditambah ciri cornering ABS dan kawalan traksi peka sudut miring (lean-sensitive traction control) dengan menjanjikan prestasi tunggangan hebat di selekoh yang sukar dicabar pesaing lain dalam kategori sama. Memang sesuai dengan gelarannnya, 'The Scalpe'!
BACA >>> KTM 1290 Super Duke GT - Jentera Pengembaraan
790 Duke turut didatangkan dengan teknologi canggih seperti kawalan luncur, Quick Shifter, mod ABS Supermoto dan paparan instrument LCD TFT berwarna yang kini dijadikan pakej standard bagi sesebuah jentera jalanan.
Perincian harga masih menjadi persoalan, tetapi berdasarkan ura-ura diterima, pelancaran rasmi dijangka dibuat sekitar musim luruh atau seawal Oktober tahun depan. Jika berminat, anda mungkin masih sempat mula menabung sekarang. 🙂
Leave a Reply