MODEL terbaharu musim 2018, jentera bernadi 3-silinder pilihan rakyat Malaysia, Yamaha MT-09 bakal menerima versi SP (Sports Performance) seperti hyper naked Yamaha MT-10 SP yang dilancarkan tahun lalu, manakala Yamaha MT-07 tampil lebih agresif.
Diperkenalkan pada Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2017 yang sedang berlangsung hingga 12 November ini, versi SP untuk MT-09 tidaklah seeksotik MT-10 SP yang dilengkapi suspensi aktif daripada Öhlins. Namun, beberapa penaiktarafan diperkenalkan bukan calang-calang, termasuk MT-07 juga.
YAMAHA MT-09 SP (2018)
Masih mengekalkan enjin 3-silinder sebaris 850cc berkuasa 115hp yang pastinya sudah cukup nikmat untuk sebuah jentera sports-naked. MT-09 SP turut didatangkan dengan suspensi belakang boleh-laras daripada Öhlins dengan alat kawalan jauh. Suspensi depan pula dinaik taraf kepada unit boleh laras dengan pilihan talaan rebound dan peredaman mampatan.
BACA >>> Yamaha MT-09 Tracer CKD Kini Di Malaysia - Harga Turun RM7,900
Spesifikasi teknikal lain yang dibawa daripada versi MT-09 (2017) adalah seperti ciri Quick Shift, klac Bantuan dan Gelincir (Assist and Slipper), mod tunggangan boleh laras D-MODE, lampu depan kembar agresif, dan kawalan traksi (TCS) boleh laras, termasuk pemegang nombor plat pada lengan ayun.
MT-09 SP menampilkan rekaan grafik unik dengan skema warna Silver Blu Carbon (perak-biru) seperti abangnya, MT-10 SP dan hendal serta panel instrumen hitam yang lagak seperti jentera perlumbaan. MT-09 SP turut dihiasi trim biru pada pelana untuk memberikan imej lebih premium daripada versi asal selain rim sport biru dengan grafik SP.
YAMAHA MT-07 (2018)
Penaiktarafan versi terbaharu MT-07 menumpukan kepada rekabentuk yang selari dengan penaiktarafan MT-09 (2017).
BACA >>> Mana Lebih Menarik? Yamaha MT-07 Tawar Dua Warna Baharu
Masih mengekalkan lampu depan tunggal, rekaan perumah lampu diberikan perincian lebih agresif dengan lampu signal dipindahkan ke sisi radiator. Skup udara tampil lebih tajam ke hadapan. Dari sisi belakang, rekaan pelana diberikan sedikit perubahan untuk posisi tunggangan lebih baik, manakala lampu belakang menggunakan rekaan lampu MT-09.
Tiada perubahan pada kuasa, tetapi prestasi pengendalian dipertingkatkan sedikit dengan talaan pada fork depan dan suspensi belakang dengan pelaras rebound damping yang memang memberikan prestasi kendalian lebih agresif.
Leave a Reply