PADA pusingan sebelum ini di Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, pasukan Mercedes-AMG Petronas Motorsport sudah pun dinobatkan sebagai juara kategori pengeluar Formula Satu (F1) buat kali keempat berturut-turut. Satu pencapaian yang cukup membanggakan, apatah lagi kemenangan tersebut turut membawa bersama nama syarikat konglomerat dari Malaysia - Petronas!
Mercedes-AMG Petronas Motorsport berjaya meraih 575 mata dan meninggalkan Ferrari (428 mata) dalam kejohanan yang berbaki tiga lagi perlumbaan. Kehebatan pasukan tajaan Petronas itu sekali lagi dibuktikan apabila pelumbanya, Lewis Hamilton berjaya memenangi kejuaraan kategori pemandu pada perlumbaan yang berlangsung di GP Mexico, Ahad lalu.
Menariknya, kejayaan itu diraih walaupun Lewis berada di kedudukan ke-9 disebabkan insiden perlanggaran dengan Sebastian Vettel pada awal perlumbaan.
Berikut Catatan GP Mexico:
- Valteri Bottas menjadi satu-satunya pemandu Mercedes-AMG Petronas Motorsport yang menaiki podium. Beliau meraih tempat kedua, diapit Max Verstappen (pertama) dan Kimi Raikkonen (ketiga).
- Podium kedua adalah kedudukan terbaik dicapai Bottas di litar Autódromo Hermanos Rodríguez, dan podium ke-20 beliau dalam F1.
- Lewis Hamilton bermula di grid ketiga, tetapi terlibat dalam kemalangan dengan Sebastian Vettel seawal pusingan pertama. Beliau sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-9.
- Hamilton mendahului kejuaraan dengan 333 mata, yakni 56 mata di hadapan Vettel (277 mata) dalam kejohanan yang berbaki dua perlumbaan lagi.
- Bottas pula mencatat 262 mata dan kini di tempat ketiga keseluruhan.
- Selepas memenangi kejuaraan pengeluar minggu lalu di Austin, Mercedes-AMG Petronas Motorsport mencatatkan 595 mata di hadapan Ferrari (455 mata).
- Keputusan Mexico ialah podium kali ke-290 untuk Mercedes-Benz dalam F1.
Berikut Komen Lewis Hamilton Selepas Meraih Kejayaan F1 Keempat:
Saya sangat bersyukur apabila berfikir tentang segala-galanya yang berlaku tahun ini, dan segala yang perlu dilakukan untuk menghasilkan keputusan ini. Saya tidak melakukan ini sendiri, ada ribuan orang di Brackley dan Brixworth yang memberi peluang untuk saya mengeksploitasi kebolehan diri.
"Saya mendapat sokongan hebat seluruh dunia, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda yang percaya. Untuk melakukan semua ini di Mexico, dan memberi cahaya positif di negara yang mengharungi masa sukar sejak berbulan lalu (Mexico dilanda gempa bumi sebelum ini), segalanya sangat istimewa.
"Tidak kira apa yang berlaku dalam perlumbaan hari ini. Saya membawa azimat 'Still I Rise' di belakang helmet saya - bermakna apabila anda tersingkir, anda akan kembali lagi, dan terus berusaha sedaya upaya. Saya tidak pernah berputus asa, dan saya terus berusaha. Empat ialah angka besar, tetapi saya mahu kejuaraan kelima sekarang!"
Leave a Reply