APRILIA bukanlah jenama asing dalam dunia permotoran. Mungkin bagi sesetengah peminat tempatan, Aprilia tidaklah sepopular nama-nama gah motosikal Eropah lain seperti Ducati dan BMW. Sebenarnya, Aprilia boleh disenaraikan antara pengeluar motosikal ternama dunia. Berpangkalan di kota Noale, Itali, jenama tersebut dibangunkan Cavaliere Alberto Beggio selepas Perang Dunia Kedua.
Selepas RSV4 RF, Malaysia turut menerima model streetbike Tuono V4 1100 Factory. Jentera itu dipasangkan enjin bersesaran 4-silinder 1,077cc penyejukan cecair dengan sistem teknologi DOHC 4 yang mampu menghasilkan kuasa 175hp pada 11,000rpm dan tork 121Nm pada 9,000rpm bersama gabungan sistem transmisi 6-kelajuan.
Bagi menawarkan prestasi optimum dan penggunaan bahan api menjimatkan, Aprilia melengkapkan Tuono V4 1100 Factory dengan teknologi suntikan bahan api.
WARNA 'SUPERPOLE LIVERY'
Penampilan Tuono V4 1100 Factory diserlahkan menerusi warna badan 'Superpole Livery' tanpa rekaan fairing penuh seperti jentera sport lain. Sama seperti model Aprilia lain, bahagian depan Tuono V4 didatangkan dengan tiga kluster lampu yang memancarkan cahaya terang pada waktu malam. Kapasiti tangki bersaiz 18.5 liter dipadankan dengan rekaan lebih aerodinamik menerusi lekukan tajam.
Bagi keselesaan tunggangan, bahagian kaki menggunakan suspensi Öhlin NIX USD pada roda depan, manakala roda belakang mempertaruhkan lengan ayun aluminium dengan monoshock Öhlin. Kedua-dua suspensi berkenaan mampu meredam sebarang bentuk permukaan jalan secara optimum.
BACA >>> Cagiva Mito 125 - Legenda Sportbike 2-Lejang, Pernah Jadi Mainan Rossi
Keyakinan membrek diserahkan kepada cakera apungan berganda 330mm di depan dan cakera 220mm di belakang, termasuk dilengkapi ciri ABS Bosch. Jentera seberat 185kg ini dilengkapi tayar berukuran 120/70 ZR 17 di depan dan 200/55 ZR 17 di belakang.
Demi ketenangan tunggangan, Aprilia menyediakan segudang ciri teknologi terkini sebagai standard seperti Aprilia Kawalan Tunggangan Prestasi Aprilia Performance Ride Control (APRC), Kawalan Traksi Aprilia (ATC), Kawalan Wheelie Aprilia (AWC), Kawalan Luncur Aprilia (ALC), Kawalan Jelajah Aprilia (ACC), Pengehad Pit Aprilia (APL), ABS selekoh, V4-MP, ciri anjakan gear elektronik Quickshift Aprilia (AQS).
Harga Aprilia Tuono V4 1100 Factory ialah RM104,251, termasuk GST.
Leave a Reply