JIKA Kawasaki Z900RS cukup menawan hati abang-abang senior kita, Ninja 250 generasi baharu ini pula pasti menarik perhatian adik-adik yang baru mahu berjinak-jinak memulas terotel sportbike.
Paling ketara dilihat, Ninja 250 kali ini menampilkan rupa facelift yang lebih tajam dan agresif. Lampu depan yang kini datang dalam ciri LED, diposisikan di bawah dada fairing, tampak lebih sepet dengan sepasang winglet (sayap lawi?) di bawah yang seakan jentera MotoGP.
BACA >>> Kawasaki Z900RS Lancar di Tokyo, Bangkitkan Ilham Legenda Retro Z1
Sementara itu, posisi depan masih mengekalkan lampu signal yang disepadukan bersama fairing, sama seperti model 2013 (syukur, bukan signal capang) dengan tambahan lungsur frem atau frame slider hitam, yang mana merupakan aksesori opsyen. Suspensi depan pula masih mengekalkan gaya teleskopik, bukan terbalik (USD).
Melangkah ke tepi, tanpa sebarang sentuhan grafik pada model pameran ini, penampilan sisi Ninja 250 nampak sedikit kosong, tetapi masih bergaya minimalis kerana mampu menyerlahkan garis dan lekuk tajam fairing dan sirip liang udara yang kini dipisahkan.
Tangki bahan api dikecilkan kepada 14 liter berbanding kapasiti asal, 17 liter, dan setara kebanyakan jentera 250cc lain seperti Yamaha R25. Ketinggian pelana ditetapkan pada 785mm, dan bahagian belakang mendapat sentuhan kosmetik dengan rekaan ekor dan lampu belakang LED lebih seksi yang tampak seperti streetfighter Kawasaki Z1000.
Jika diteliti enjin pula, rekaan crankcase atau perumah enjin seakan diberikan perubahan berbanding model terdahulu. Apakah ada perubahan pada prestasi Ninja 250 baharu ini?
BACA >>> #TMS2017: Kawasaki Dedah Sportbike untuk Novis - Ninja 400
KUASA DIPERTINGKAT
Ya, Ninja 250 versi 2018 ini tampil lebih bertenaga dengan hamburan kuasa setinggi 39hp pada 12,500rpm, sekali gus melayakkan jentera ini berada lebih tinggi daripada 'King of 250cc Sportbike' Honda CBR250RR berkuasa 38.5hp (masih sampai ke sudah tidak masuk Malaysia!). Malah, prestasi Ninja 250 hampir setanding dengan abangnya, Ninja 300 yang juga mampu mencapai kuasa 39hp (tetapi pada putaran lebih awal 11,000rpm). Daya tork turut ditingkatkan kepada 23.5Nm (10,500rpm), berbanding 21Nm (10,000rpm) pada model lama.
Mengambil kira rekod Kawasaki yang cukup baik, tidak mustahil kita dapat menyaksikan kelibat Ninja 250 (2018) menjengah pasaran Malaysia dalam masa terdekat ini untuk dinobatkan sebagai raja terbaru sportbike 250cc. Bagaimanapun, dengan Ninja 300 yang masih ada di pasaran sekarang, apakah Ninja 250 baharu ini akan diketepikan Kawasaki?
SPESIFIKASI - Kawasaki Ninja 250 (2018)
Enjin: 4-Lejang, 249cc, Dwi-Silinder Sebaris, DOHC
Kuasa: 39hp @ 12,500rpm
Tork: 23.5Nm @ 10,000rpm
Berat basah: 167kg
Kapasiti Tangki: 14 liter
Ray says
Teruskan update
Muhammad Farid says
Perbezaan antara 250 standard dan 250 ABS apa perbezaannya ? Adakah ninja ada dua spec nie sahaja ? Ke ada lebih drp dua ?