JIKA semalam kami mendedahkan senarai model kenderaan paling tidak reliabel di Amerika Syarikat (AS), kali ini kami paparkan pula kenderaan paling reliabel di negara Uncle Sam itu. Keputusan diperoleh adalah berdasarkan data Tinjauan Reliabiliti Tahunan Consumer Reports (CR) 2017 yang dikeluarkan baru-baru ini membabitkan model-model baharu dijual sepanjang 2017.
Jika kenderaan kurang reliabel disenaraikan mengikut jenis model secara spesifik, sebaliknya kenderaan reliabel pula kami senaraikan mengikut nama pengeluar, termasuk model paling reliabel dikeluarkan.
BACA >>> Tinjauan: Inilah 10 Kereta Paling Tidak Reliabel di Amerika Sepanjang 2017
Jika melihat senarai diberikan, ada model tanpa disangka turut memasuki senarai, misalnya minivan Chrysler Pacifica yang dinilai pengguna sebagai kenderaan reliabel walaupun baru tahun pertama di pasaran. Model crossover hibrid, Kia Niro pula menjadi model paling reliabel antara barisan model buatan pengeluar dari Korea Selatan itu.
Tinjauan CR itu dibuat berasaskan maklum balas pengguna yang mendaftar dengan badan pemerhati bebas itu, membabitkan lebih 640,000 kenderaan baharu sejak 2000.
PELBAGAI KRITERIA TINJAUAN
Tinjauan pendapat adalah berdasarkan 17 permasalahan daripada gangguan seperti bunyi brek, dan trim dalaman pecah, hingga isu major seperti baik pulih transmisi yang sudah tamat waranti atau masalah pada sistem pacuan empat-roda (4WD).
Setiap masalah turut diperincikan tahap keterukan untuk menghasilkan Skor Reliabiliti Jangkaan bagi setiap kenderaan. Setiap skor kemudian digabungkan dengan data terkumpul daripada ujian trek CR, dan keputusan tinjauan kepuasan pemilik dan data keselamatan, untuk mendapatkan Skor Keseluruhan kenderaan.
Pengeluar manakah menghasilkan kenderaan paling reliabel di AS?
10. HYUNDAI
Hyundai mungkin jatuh tiga anak tangga berbanding tahun lalu, tetapi masih cukup untuk meraih kedudukan ke-10 dalam senarai. Data CR memberikan purata skor realibiliti 59. Elantra menjadi model paling reliabel, manakala Tucson mendapat skor paling rendah.
9. HONDA
Sebenarnya, Honda mendapat purata skor sama seperti Hyundai dengan membaiki posisi berbanding 2016. Crossover popular, CR-V ialah model paling reliabel.
8. BUICK
Jenama tiga perisai ini turun lima anak tangga tahun ini, tetapi masih mampu menduduki kedudukan ke-8 dan menjadi wakil pengeluar AS paling reliabel. Sedan LaCrosse dilaporkan menjadi punca Buick tergelincir banyak anak tangga.
7. INFINITI
Divisi mewah Nissan ini menduduki posisi ke-7, lebih baik berbanding 2016. Sedan Q70 ialah model paling reliabel, cuma model Q50 banyak mendapat aduan masalah.
6. SUBARU
Subaru mendapat purata skor 60 dengan kereta sport BRZ menjadi produk paling reliabel walaupun model tersebut bukanlah produk pengeluar dari Jepun itu yang paling laris. Jauh sekali menandingi jualan Impreza, yang kebetulan menjadi model Subaru paling kurang reliabel. Ingat, paling laris bukan bermaksud paling reliabel.
5. BMW
Sebagai pengeluar yang banyak merintis teknologi baharu automotif, amat jarang sekali kita dapat menyaksikan jenama Jerman dalam senarai kenderaan reliabel. Tetapi kajian kali ini sedikit sebanyak memulihkan reputasi BMW dengan menduduki tempat ke-5. Terima kasih kepada model 2 Series yang banyak membantu. Model paling bermasalah, i3 yang serba futuristik.
4. AUDI
Duduk di atas BMW ialah seteru utamanya, Audi di tempat ke-4, sekali gus mengekalkan kedudukan sama pada 2016 dengan purata skor 68. Crossover kecil Q3 ialah model Audi paling boleh diharap.
3. KIA
Pemenang pingat gangsa dalam buruan kenderaan paling reliabel di AS ialah Kia apabila berjaya meraih purata skor reliabiliti, 71. Siapa sangka, crossover hibrid, Niro menjadi model terbaik dan paling reliabel dihasilkan Kia.
2. LEXUS
Bagi pengguna AS, apa diperoleh Lexus bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Berbanding seteru lain sebagai pengeluar kenderaan mewah, Lexus nyata sukar dikalahkan dengan mencatatkan skor 77, manakala model yang memberikan markah tertinggi ialah sedan ES.
1. TOYOTA
Kalau sudah tiada nama dalam senarai 6-10 terbaik, rasanya tidak perlulah diteka lagi kerana Toyota biasanya pasti meraih tiga tempat terbaik. Lihatlah keputusannya. Walaupun cuma mendahului tiga mata (skor 80) lebih baik berbanding Lexus, Toyota tetap layak meletakkan diri sebagai jenama paling reliabel di AS. Model terbaik ialah 86, manakala model paling bermasalah jatuh kepada trak pikap Tacoma.
SUMBER: Auto Guide
Leave a Reply