KERETA ialah antara barangan mewah yang menjadi sasaran golongan jutawan dan bilionair dunia untuk menghabiskan wang mereka. Bagaimanapun, sesetengah hartawan itu lebih selesa memiliki kenderaan yang di bawah kemampuan sebenar mereka. Lebih mengejutkan, individu tersebut bukanlah orang kaya biasa-biasa, atau kaya jadian, tetapi siap bersemayam dalam ranking teratas hartawan dunia.
Tahukah anda, apakah kereta dimiliki taikun hartanah, Warren Buffet yang juga manusia kedua paling kaya di planet Bumi? Kereta apakah dinaiki pengasas laman media sosial paling berpengaruh, Facebook, Mark Zuckerberg? Apakah mereka memiliki Rolls-Royce? Mari kita lihat senarai di bawah:
1. WARREN BUFFETT - CADILLAC XTS
Pada awal tahun ini, ada laporan mengatakan Warren Buffet baru saja membeli sebuah Cadillac XTS (2014) untuk menggantikan kereta lamanya, Cadillac DTS (2006). Anda tentu fikir Buffet sangat sukakan Cadillac, dan tekaan anda itu mungkin betul. Faktanya, Buffet sebenarnya sangat jarang memandu, dan jarak pemanduan beliau sepanjang setahun adalah kira-kira 5,600km sahaja. Jadi, memang munasabah Buffet tidak kerap membeli kereta baharu walaupun beliau sememangnya mampu membeli apa sahaja kereta paling mewah dan mahal di planet Bumi ini.
2. MARK ZUCKERBERG - ACURA TSX
Kenapa pengasas Facebook dan lelaki kelima paling kaya di dunia ini tidak memandu kenderaan yang sepatutnya lengkap dengan ciri teknologi terkini? Sebaliknya, Mark Zuckrberg cuma memilih sebuah Acura TSX lama. Alasan paling utama, Zuckerberg mengakui beliau sendiri bukan peminat kereta besar. Menurut CNBC, beliau melihat TSX sebagai sebuah kereta yang selamat, selesa dan tidak terlalu menonjol. Zuckerberg turut memiliki sebuah Volkswagen Golf GTI yang harganya juga sama dengan TSX.
3. ALICE WALTON - FORD F-150
Pewaris kekayaan Wal-Mart dan wanita kedua paling kaya di dunia, Alice Walton sangat sukakan trak pikap, atau secara spesifik, Ford F-150 King Ranch (2006). Menariknya, mendiang bapa beliau yang juga pengasas Wal-Mart, Sam Walton turut memandu trak pikap sama versi 1979. Siapa cakap minat tidak boleh diwarisi?
4. INGVAR KAMPRAD - VOLVO 240 GL
Pengasas Ikea, Ingvar Kamprad kembali ke Sweden pada 2014 selepas 40 tahun melarikan diri daripada cukai. Sepanjang dua dekad sebagai pelarian, minatnya kental kepada Volvo 240 GL (1993). Kamprad cuma berhenti memandu selepas seseorang meyakinkan beliau tentang bahaya memandu pada usia 91 tahun.
5. STEVE BALLMER - FORD FUSION HYBRID
Bekas Ketua Pengarah Eksekutif (CEO) Microsoft, dan pemilik Los Angeles Clippers, Steve Ballmer memiliki kekayaan bersih bernilai AS$30 bilion (RM126.5 bilion), dan beliau ialah lelaki ke-21 paling kaya di dunia. Ballmer ialah peminat tegar Ford kerana bapanya dahulu pernah menyandang jawatan sebagai pengurus di Ford, sekali gus menjadi sebab kukuh kenapa beliau sangat setia dengan jenama automotif dari Amerika itu.
Pada 2009, CEO Ford menghadiahkan Ballmer dengan Ford Fusion Hybrid baharu, dan beliau kini sepatutnya sudah pun bertukar kepada kereta baharu, tetapi itu tidak berlaku.
6. KIRK COUSINS - GMC SAVANA
Akhirnya, inilah satu-satunya individu yang bukan bilionair, Kirk Cousins. Tetapi itu bukanlah bermakna pendapatan Cousins biasa-biasa sahaja. Ini kerana anggaran pendapatan tahunan pemain quarterback untuk kelab bola sepak Amerika, Washington Redskins dikatakan mencecah AS$23.9 juta (RM100.8 juta).
Cousin dikenali umum sebagai seorang yang sangat cermat menguruskan wang dan hanya berbelanja apabila perlu. Inilah sebab kenapa dia memilih van penumpang GMC Savana dan bukan SUV mewah saiz penuh, Cadillac Escalade.
SUMBER: CarScoops
Leave a Reply