YAMAHA Motor Indonesia memperkenalkan Xmax 125 (2018) dengan menampilkan rekabentuk lebih dinamik yang diilhamkan daripada famili model Xmax 300 dan Xmax 400. Tidak banyak perubahan ditampilkan berbanding model terdahulu, cuma imej sporty dipertingkat menerusi penggunaan lampu depan dan belakang LED, disebut sebagai 'dynamic X-Max family look'.
Menyempurnakan lagi model Xmax 125 (2018) ialah kehadiran teknologi Sistem Kawalan Traksi (TCS), termasuk mengemaskini modul kawalan traksi elektronik yang lebih mesra penunggang dengan dua fungsi. Malah, turut melepasi ujian emisi Euro 4.
Dijana enjin SOHC 125cc, hamburan kuasa mencapai 10.5hp pada 8,750rpm dan tork 12Nm pada 6,500rpm. Penjimatan bahan api adalah sekitar 2.7 liter untuk jarak 100km. Xmax 125 (2018) turut dilengkapi cermin pengadang depan yang pastinya cukup berguna buat penunggang jarak jauh.
POSISI HENDAL BOLEH PILIH
Penunggang juga boleh memilih posisi hendal yang sesuai dengan gaya tunggangan. Panel meter LCD berwarna gelap, tetapi masih jelas dilihat walaupun di bawah sinaran mentari. Ciri tambahan lain ialah soket 12V yang boleh digunakan untuk mengecas telefon pintar, terletak dalam ruang simpanan sebelah kiri. Ruang simpanan bawah kerusi yang luas mampu memuatkan dua helmet pada satu-satu masa.
Yamaha Xmax 125 (2018) baharu akan dijual bermula Oktober ini dalam 5 warna pilihan - Radical Red (merah), Sonic Grey (kelabu), Phantom Blue (biru), Blazing Grey (kelabu) dan Availability (hitam). Walaupun perincian sudah didedahkan, tetapi, pihak Yamaha Motor Indonesia masih belum mengumumkan harga rasmi model berkenaan.
GALERI
SUMBER: Dapur Pacu
Leave a Reply