DALAM dunia automotif, situasi sesebuah pengeluar dimiliki pengeluar lain bukanlah perkara asing. Begitu juga dengan pelbagai istilah korporat seperti pakatan kerjasama, rakan strategik dan lain-lain. Jadi, apa yang perlu kita faham adalah betapa perkembangan dunia automotif masa kini kian mencabar berikutan turun naik ekonomi dunia, kekangan sumber, kenaikan kos buruh dan pembuatan serta lain-lain.
Skoda, misalnya adalah antara pengeluar yang tidak terlepas dengan pelbagai cabaran dalam usaha mengekalkan survival dan kelangsungan jenama itu. Walaupun bernaung di bawah syarikat induk gergasi, Volkswagen Group, pengeluar dari Republik Czech itu kini sedang mencari rakan kongsi baharu dalam usaha meneruskan projek kereta kos rendah atau bajet berikutan kegagalan rundingan dengan pengeluar automobil dari India, Tata Motors.
BACA >>> Kereta Terlaris Eropah 2016 - VW Popular, Tapi Skoda Paling Laku
Masih menumpukan pasaran India, Skoda ini sedang berusaha menjadikan platform Volkswagen, MQB AO cukup murah untuk membangunkan sebuah kenderaan asas yang murah. Namun, pada masa sama tidak menolak peluang menjalinkan kerjasama dengan rakan kongsi lain yang berpotensi.
“Kami terbuka kepada perkongsian dengan syarat mereka (rakan kongsi) menghasilkan sinergi ekonomi dan teknikal seperti dikehendaki," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Skoda, Bernhard Maier.
Menurut Maier, Skoda sudah melakukan rundingan bersama pembekal tempatan supaya dapat menghasilkan kereta kos rendah dengan mematuhi keperluan keselamatan dan emisi ketat yang bakal dikuatkuasakan di India pada 2020 ini.
Tambah Maier lagi, platform MQB AO masih belum menjadi asas muktamad untuk kereta kos rendah kerana di India, harga pasaran adalah isu sensitif di negara tersebut.
BACA >>> #RetroAuto: Mohor Kaum Asli Amerika Jadi Sumber Ilham Logo Škoda
"Ini jelas, tanpa lokalisasi radikal dan kelebihan kos yang berkaitan, kami tidak akan mampu menukarkan platform MQB AO kepada produk kompetitif di India," katanya.
Sesetengah model juga akan dilancarkan di Amerika Selatan dan Timur Tengah, manakala Volkswagen Group juga bakal membangunkan kereta bajet lain dengan rakan kongsi dari China yang bersedia dilancarkan menjelang 2019.
* Model supermini, Skoda Citigo
SUMBER: Car Scoops
Leave a Reply