ORANG Malaysia mungkin sudah biasa dengan Honda Jazz, model subkompak yang asasnya dibangunkan khas buat golongan eksekutif muda atau orang bandar. Namun, isu ruang menjadi masalah buat golongan berkeluarga yang tidak sukakan sedan, tetapi mahu kereta famili bergaya hatchback seperti Jazz. Maka, lahirlah, Honda Shuttle.
Senang cerita, Shuttle ialah Jazz versi panjang, atau wagon atau boleh juga dipanggil minivan. Situasinya sama seperti BRV yang ramai terkeliru sama ada model 7-kerusi itu sebuah SUV, MPV atau crossover. Tetapi, itu semua bukanlah masalah besar pun, sebab sudah namanya Honda.
BACA >>> Debut Honda BR-V di Malaysia, Crossover 7-Tempat Duduk Paling Berkuasa
Shuttle mula dilancarkan pada 2011 dan baru saja masuk generasi kedua pada 2015. Baru tiga tahun di pasaran dan bolehlah dikategorikan sebagai masih baharu dan relevan. Baru-baru ini Honda Jepun melancarkan Shuttle versi naik taraf membabitkan penambahbaikan dari segi ruang dan aspek keselamatan.
Antaranya, melengkapkan wagon tersebut dengan teknologi termaju, Honda Sensing yang terdiri daripada lapan fungsi keselamatan pintar dan bantuan pemanduan. Menariknya, teknologi tersebut ditawarkan sebagai ciri standard semua varian dan apa yang berbeza cuma opsyen trim dan spesifikasi. Teknologi dibekalkan adalah termasuk radar dan sensor kamera untuk mengimbas jalan di hadapan, pembrekan automatik, amaran menukar lorong, kawalan jelajah adaptif dan lain-lain.
BACA >>> Apa Itu 'Honda Sensing' Pada Honda CR-V (2017) - 'Power' Sangat Ke?
TRENKUASA DINAIK TARAF
Bersama sistem termaju itu, Honda turut melengkapkan Shuttle (2018) dengan trenkuasa yang ditala semula, iaitu enjin 4-silinder 1.5L petrol dengan transmisi klac-dual 7-kelajuan dan motor elektrik bersepadu. Terdapat juga Shuttle (2018) versi konvensional berenjin sama dengan transmisi CVT. Kedua-dua varian hibrid dan petrol itu ditawarkan dalam pacuan roda depan (FWD) atau semua roda (AWD). Menarik!
Ruang kabin fungsional membolehkan Shuttle (2018) memuatkan lima dewasa, termasuk pemandu dengan selesa. Malah, seisi penumpang dapat menikmati sistem infotainment yang siap dinaik taraf dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Rupa luaran pula diserikan dengan lampu kabus LED.
Oppss, lupa mahu beritahu. Shuttle (2018) sebenarnya cuma dijual di pasaran Jepun buat masa sekarang, dan boleh dikatakan sebagai model pasaran domestik Jepun (JDM) tulen. Menurut Honda, kira-kira 2,500 unit Shuttle terjual setiap bulan di Negara Matahari Terbit itu pada harga sekitar ¥1.7 juta (RM64,887) hingga ¥2.5 juta (RM95,422).
Layan mata sajalah.
GALERI
SUMBER: Car Scoops
Leave a Reply