KEHEBATAN Kia dalam mendaki takhta pengeluar utama dunia memang tidak boleh dinafikan. Satu persatu model yang tampil menyentuh emosi dihasilkan. Tinggal lagi Kia perlu memenangi hati pasaran bagi menyaingi produk buatan pengeluar Jepun.
Bagi pasaran domestik, ketangkasan Kia memasarkan model-model baharu global boleh dipuji. Namun, ada lagi beberapa model yang tidak kurang juga menarik, tetapi tidak ditawarkan di Malaysia. Contohnya, Kia Soul, Niro, Cadenza, Carens baharu dan famili Cee'd.
Sebelum ini, kami ada paparkan artikel mengenai Kia Bakal Pamer Hot-Hatch Versi 'Extended' di Frankfurt? dan selang beberapa hari selepas itu, Kia mengumumkan model dimaksudkan tersebut, Proceed Concept.
Pasti hebat jika Kia menghasilkan model seperti digambarkan, sekali gus menguatkan faktor 'wow' yang sedia dipamerkan model Stinger. Apapun, model konsep itu akan didedahkan pada Pameran Motor Antarabangsa Frankfurt (IAA) 2017 yang bermula esok (12 September).
Apa yang menarik, Proceed Concept direka di bangunan Pusat Rekabentuk Eropah Kia yang terletak hanya 500 meter dari lokasi pameran IAA. Konsep rekaan Proceed itu ialah pertama seumpamanya untuk Kia yang mana pengeluar dari Korea itu menggunakan tema 'extended hot hatch' sebagai bayangan kepada model baharu Cee'd.
Menurut Ketua Pereka Eropah Kia Motors, Gregory Guillaume, rekaan sebegitu dipilih berasaskan cita rasa pelanggan Eropah yang mahu alternatif berprestasi tinggi untuk sebuah hot-hatch tradisional. Walaupun Proceed Concept banyak membawa elemen rekabentuk baharu, tetapi masih mengekalkan DNA Kia yang dibina sekian lama.
Antaranya, gril hidung harimau atau 'tiger nose', bonet arca 'pulau' daripada Stinger dan ciri lain yang memberikan identiti Kia. Selain itu, warna badan yang menyerlah ini dinamakan sebagai Lava Red. Ia dihasilkan dari gabungan warna hitam yang diadunkan dengan tangan, perak dengan efek krom dan juga lacquer red-tinted untuk kilatan yang berkilauan.
CEED YANG LAIN DARIPADA LAIN
Sementara itu, famili Cee'd sememangnya terdiri daripada model-model menggiurkan yang menyerlahkan sisi lain Kia sebagai pengeluar kereta massa. Malah, ada model hebat yang jika dibawa masuk ke negara ini dijangka bakal mengubah pandangan umum terhadap Kia.
Namanya, Kia Pro_Cee'd GT (foto bawah) yang menggunakan enjin 1.6 T-GDI Gamma, sama seperti Hyundai Veloster Turbo di pasaran Amerika. Kuasa maksimum dihasilkan model itu ialah 204hp dan tork 265Nm bersama sistem transmisi manual 6-kelajuan.
Leave a Reply