JIKA anda perasan, pengeluar automotif dan basikal seakan ada hubungan istimewa. Boleh dikatakan kebanyakan pengeluar utama dunia mempunyai jenama basikal sendiri. Lama dahulu, Proton mengeluarkan jenama basikal T-Bolt yang ketika itu dunia kayuhan masih bukan jadi trend hangat macam sekarang.
Dahulu, jika mengayuh basikal sambil menyarung helmet pun boleh jadi bahan lawak, atau nampak pelik. Sekarang semua sudah berubah, penunggang berumur pun sudah biasa dilihat mengayuh basikal, yang lengkap aksesori keselamatan, dengan menjelajah puluhan dan ratusan kilometer setiap minggu.
HUMMINGBIRD
Ini pula basikal dibina firma bukan calang-calang, iaitu Prodrive yang bukan basikal jalanan (road bike) atau basikal bukit (mountain bike), tetapi basikal lipat (folding bike). Hummingbird dikatakan basikal lipat paling ringan di dunia yang seberat hanya 6.9kg.
Walaupun hanya sebuah basikal, projek tersebut bukan mudah atau sekadar diserahkan kontrak kepada pengeluar OEM. Buktinya, Prodrive sendiri mengambil masa lebih 18 bulan untuk menghasilkan Hummingbird. Tambahan lagi, itu ialah projek pertama Prodrive dalam industri basikal.
Hummingbird dikatakan berjaya menetapkan standard baharu dalam pembuatan basikal lipat. Selain berat kurang 7kg, basikal tersebut cuma ada tiga cara lipatan yang boleh disempurnakan dalam masa lima saat!
Rekod tersebut bukan saja menjadikan Hummingbird basikal paling ringan, tetapi juga paling pantas dilipat di dunia. Faktor fizikal badan ringan itu turut disumbangkan frem gentian karbon ultra ringan buatan tangan Prodrive Composites yang berlokasi di Milton Keynes. Malah, selain apa disebutkan di atas, yakni ringan dan pantas dilipat, Hummingbird juga menampilkan rekabentuk berbeza berbanding basikal lipat lain di pasaran.
BACA >>> BMW M Bike Limited Carbon Edition - Basikal Khas untuk M5 (RM7,010 Sahaja)
BASIKAL MASA KINI KURANG MENARIK
Individu di sebalik rekaan hebat Hummingbird diilhamkan Petre Craciun, iaitu seorang pereka dari London yang gemar mengayuh basikal. Idea membangunkan basikal tersebut tercetus apabila beliau mendapati basikal lipat yang ada di pasaran masa kini semacam kurang menarik dan berat.
Faktor tersebut mendorong Craciun merekabentuk basikal lipat sendiri. Pada awal 2016, beliau mengambil inisiatif menghubungi Prodrive untuk memperhalusi rekaan basikalnya. Ini termasuk mengoptimumkan pemanduan dan pengendalian selain membina frem karbon supaya dapat dihasilkan dalam jumlah pengeluaran besar dan dapat dijual ke peringkat global.
Jurutera Prodrive kemudian melakukan pelbagai peringkat pembangunan bagi menyempurnakan basikal berkenaan dengan menggunakan perisian rekabentuk dan analisis khas bagi mengoptimumkan kekuatan dan pada masa sama mengurangkan berat basikal. Kaedah yang digunakan adalah sama seperti dilakukan projek pembangunan kereta lumba dan rali.
Hasilnya basikal ini lulus dalam ujian keselamatan ISO ketika pertama kali diuji.
BACA >>> Perkhidmatan Basikal Elektrik Uber Bakal Tembus Eropah, Bermula di Jerman
KUSTOM IKUT TEMPAHAN
Selain aspek pembuatan tangan dan dihasilkan di ibu pejabat Prodrive di Banbury, setiap frem Hummingbird memuatkan nombor siri tersendiri dan ditawarkan dalam empat warna, termasuk kemasan gentian karbon.
Basikal lipat Hummingbird juga dilengkapkan dua opsyen gear, tunggal atau 4-kelajuan. Menariknya, Prodrive turut menguji versi elektrik yang bakal dipasarkan tahun hadapan. Malah, setiap pembuatan basikal Hummingbird bukanlah boleh dibeli begitu saja kerana basikal itu dihasilkan mengikut tempahan.
Harga permulaan bermula £3,495 (RM19,313).
BACA >>> #Videotomotif: Kayuhan Penunggang Basikal Gunung Ini Pasti Bikin Dada Anda Berdebar
SUMBER: HummingbirdBike
Leave a Reply