MINGGU lalu, saya bersama rakan media lain dari Malaysia dijemput ke bandar Hangzhou, dalam wilayah Zhejiang, timur China untuk melawat pusat operasi Geely. Sudah pasti, ‘bakal kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama’ Proton, Boyue menjadi tumpuan utama.
Selain itu, kami turut terbuka mata melihat kecanggihan teknologi dan kemajuan yang diraih Geely walaupun masih baru dalam industri automotif (sekitar 1997).
Sebelum bercerita lanjut mengenai kecanggihan teknologi dan fasiliti yang dimiliki Geely, saya akan ulas dahulu apa yang menarik tentang Boyue.
Buat pertama kali, saya dan rakan media lain dari Malaysia menjadi antara kumpulan terawal berpeluang memandu uji Boyue. Ramai sedia maklum Proton sudah menyatakan hasrat mahu menghasilkan 'SUV pertama' menerusi penggunaan platform daripada model Boyue.
Secara peribadi, kami berpendapat pemilihan Boyue paling tepat kerana SUV itu adalah antara model terlaris Geely.
Memandangkan litar baharu Geely masih belum siap sepenuhnya, kami hanya sempat memandu Boyue pada laluan lurus sepanjang 2km. Jadi, tidak banyak yang boleh diulas berdasarkan sesi pandu uji tersebut, terutama ujian suspensi dan pengendalian.
Geely menutup sementara laluan pandu uji bagi membenarkan rakan media dari Malaysia memandu uji Boyue. Varian yang dipandu uji ialah versi 1.8L Turbo. Berikut komen saya mengenai Boyue:
REKAAN LUARAN
Aspek luaran, saya lebih terarik pada bahagian belakang. Jika melihat dari sisi, bahagian belakang tampak seakan model Range Rover Evoque.
Lampu depan dan belakang dipadankan dengan LED yang pasti menggembirakan pembeli Malaysia. Geely sebenarnya sudah mempunyai model Boyue facelift dan dikhabarkan dilancarkan tidak lama lagi. Sama ada Proton akan memperkenalkan model facelift mahupun versi sedia ada, pun masih lagi jadi tanda tanya.
Ketika ditanya, Geely menyatakan bakal berbincang dengan pihak Proton mengenai perkara berkenaan dan semua bergantung kepada cita rasa dan permintaan rakyat Malaysia.
BACA >>> Trivia Geely - Gergasi Automotif China - yang Perlu Anda Tahu
ENJIN DAN PRESTASI HEBAT TAK?
Di China, Geely Boyue ditawarkan dalam dua varian enjin, 1.8L Turbo dan 2.0L aspirasi natural (NA).
Enjin 1.8L Turbo mampu menghasilkan kuasa 181hp pada 5,500rpm dan tork 285Nm (1,500-4,000rpm), manakala enjin NA 2.0L pula berkuasa 139hp (6,000rpm) dan tork 178Nm (4,000 - 4,500rpm). Bagi unit pandu uji, kami diberikan varian 1.8L Turbo dengan bantuan kotak gear 6-kelajuan.
Dari segi prestasi, Boyue cukup responsif ketika menekan pedal secara agresif, manakala penukaran gear juga lancar. Langsung tiada masalah mendapatkan kelajuan 120kmj.
Ruang kabin juga senyap dengan tahap kebisingan angin minimum biarpun saya menekan pedal dengan agresif pada kelajuan 120kmj. Saya juga sengaja melanggar bonggol pada kelajuan sekitar 60kmj dan suspensi nyata bertindak cemerlang. Kata orang cina, 'ngam-ngam ho' (sesedap rasa).
Jika ditambah lagi dengan talaan pengendalian dan casis dari Proton, kami yakin SUV ini akan beraksi lebih bertenaga.
BACA >>> 48 Foto Ini Akan Buat Anda Jatuh Cinta Pada Geely Boyue
KUALITI? TAK 'CIKAI' KE?
Anda harus tahu, kereta China dahulu bukan lagi sekarang. Kualiti produk dan pemasangan kereta China kini sudah berada pada satu tahap membanggakan.
Tidak perlu cakap banyak. Anda hanya perlu duduk dan rasai sendiri kualiti pada Boyue. Aksesori dan produk diguna pakai cukup berkualiti.
Contoh kereta China lain yang anda boleh rasai ialah jenama Haval. Saya minta anda yang belum pernah menaiki kereta buatan China, pergi pandu uji kereta Haval sekarang.
Ya saya faham. Bukan mudah untuk mengubah persepsi seseorang mengenai jenama buatan China. Dari kecil kita sentiasa dihidangkan dengan persepsi buruk mengenai kualiti produk buatan China. Tetapi percayalah, produk buatan China sekarang sudah berbeza. Logiknya, tidak mungkinlah Proton masih sanggup lagi mahu jual kereta tidak berkualiti?
Satu lagi persoalan, kenapa anda boleh menerima telefon pintar iPhone, tetapi tidak untuk kereta buatan China? Tepuk dada, tanya selera.
Paling penting, saya yakin model SUV Boyue nanti bakal mengubah persepsi anda. Tunggu dan lihat saja kehadiran Boyue versi Proton tidak lama lagi yang dijangka debut tahun hadapan.
Apa yang saya harapkan, Geely dapat membantu dan membimbing Proton untuk mengikuti jejak langkah seperti Volvo. Paling penting, pastikan harga Boyue dibuat supaya mampu milik dan boleh dimiliki semua rakyat Malaysia.
Kaw kaw says
Lambat masuk makan kuah,
Mitsubishi sudah test kenderaan sejuta umatnya ....1.5 mivec
Lyana says
Ada AT saja ke? Ke ada juga MT? Tak puas guna AT sebenarnya