
TRICK Rides yang merupakan syarikat baik pulih terkemuka dari Amerika Syarikat memperkenalkan hasil kerja terbaharu mereka iaitu Shelby GT350TR.
Syarikat yang dimiliki oleh Jason Engel dan Jarred Morris ini dikenali dengan kepakaran mereka menggabungkan seni kerja tradisional bersama teknologi terkini.
Projek terbaharu ini merupakan terjemahan semula salah satu model Shelby paling ikonik dalam sejarah automotif.

Dibuat sepenuhnya di bengkel seluas 31,000 kaki persegi milik mereka di Yukon, Oklahoma, jentera ini dihasilkan dengan rasa hormat yang mendalam terhadap legasi Carroll Shelby.
Ia menggabungkan warisan klasik dengan kejuruteraan moden untuk menghasilkan sebuah kereta berprestasi yang memfokuskan kepada pemanduan litar namun tetap mengekalkan jiwa asal sebuah GT350.
Rangkaian Kuasa

Nadi utama Shelby GT350TR direka untuk memberikan prestasi luar biasa sambil mengekalkan pengalaman pemanduan analog.
Jentera ini dikuasakan oleh enjin Coyote 5.0L V8 dengan pengecas lampau (supercharger) yang mampu menghasilkan 700 hp.
Kuasa tersebut disalurkan ke roda melalui transmisi manual enam kelajuan TREMEC T56 Magnum.

Sistem ekzos pula dihasilkan secara tempahan khas menggunakan Ultimate Headers dan penyenyap MagnaFlow bagi memastikan aliran udara yang optimum.
Selain itu, Trick Rides turut menawarkan pilihan enjin 427 inci padu (7.0 liter) stroker aspirasi semula jadi (N/A) bagi pelanggan yang mahukan karakter penyampaian kuasa yang berbeza.
Casis dan Pengendalian

Bagi memastikan prestasi pemanduan yang mantap, Shelby GT350TR dibangunkan di atas casis moden daripada Roadster Shop.
Bahagian hadapan dilengkapi suspensi bebas manakala bahagian belakang menggunakan sistem empat pautan parallel (parallel 4 bar) yang dipadankan dengan gandar belakang 9 inci Pro Iron.
Kawalan pengendalian diperkukuhkan lagi dengan penggunaan penyerap hentak Fox serta bar ayun bersaiz besar pada bahagian hadapan dan belakang.

Jentera ini menggunakan rim Forgeline tiga bahagian yang dibalut dengan tayar Continental gred Z untuk cengkaman maksimum.
Sistem hentian pula menggunakan kaliper brek Baer enam omboh di hadapan dan empat omboh di belakang bersama rotor jenis berlubang dan berliang.
Reka Bentuk Luaran dan Kemasan

Walaupun mengekalkan panel badan daripada keluli, beberapa sentuhan moden telah disepadukan secara teliti pada bahagian badan.
Di antaranya termasuklah pemasangan kaca hadapan dan belakang jenis rata (flush mount) serta penggunaan lampu belakang LED rekaan khas Trick Rides.

Butiran estetik lain termasuklah penggunaan pemegang pintu, engsel dan cermin sisi daripada Ringbrothers.
Walaupun menerima banyak naik taraf moden, identiti visual sebagai sebuah GT350 tetap diutamakan supaya ia memberikan perasaan sejati sebaik sahaja pemandu memegang stereng.
Harga dan Pasaran

Shelby GT350TR ditawarkan dalam pelbagai pilihan skema warna mengikut permintaan pelanggan. Harga bagi sebuah ikon Amerika ini bermula daripada $339,000 (kira-kira RM1,374,645).
Spesifikasi Teknikal Shelby G.T.350TR
- Enjin Coyote 5.0L V8 32 Injap dengan Pengecas Lampau 700 hp
- Transmisi Manual Tremec T56 Magnum
- Pilihan Enjin 7.0 liter N/A 427 Stroker
- Tiang Stereng Flaming River Tilt
- Panel Badan Keluli
- Lampu Belakang LED Trick Rides
- Bampar dan Depan GT350TR
- Pemegang Engsel dan Cermin Ringbrothers
- Ekzos Ultimate Headers dan Penyenyap Magnaflow
- Modul Penyejukan Wizard
- Rim Hadapan Forgeline 3 Piece 18X8
- Rim Belakang Forgeline 3 Piece 18X11
- Tayar Hadapan Continental Z rated 225/40/18
- Tayar Belakang Continental Z rated 315/30/18
- Brek Hadapan Baer 6 omboh
- Brek Belakang Baer 4 omboh
- Rotor Berlubang dan Berliang
- Casis Roadstershop
- Gandar Belakang 9 Inci Pro Iron
- Suspensi Belakang Parallel 4 Bar
- Suspensi Hadapan Bebas Roadstershop IFS
- Bar Ayun Hadapan dan Belakang Bersaiz Besar
- Penyerap Hentak Fox
















Leave a Reply