
QJMOTOR Malaysia mengukuhkan kehadiran dalam segmen supersport prestasi tinggi menerusi pelancaran rasmi dua model terbaharu, QJMotor SRK450RR (foto atas kanan) dan QJMotor SRK250RD (foto atas kiri) ke pasaran tempatan.
Kedua-dua model itu menyasarkan penunggang yang mahukan prestasi enjin berkelajuan tinggi, teknologi perlumbaan moden dan pengalaman tunggangan hampir setara jentera litar.
Kedua-dua model tersebut kini boleh didapati di pasaran Malaysia bermula hari ini di semua pengedar sah Mforce seluruh negara, sekali gus memperluas pilihan supersport dalam kategori 4-silinder di pasaran tempatan.
QJMotor SRK450RR, Supersport 4-Silinder Prestasi Tinggi
QJMotor SRK450RR ditawarkan pada harga RM25,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, dalam pilihan warna Black (hitam), Silver (perak) dan Red (merah). Model itu dikuasakan enjin 4-silinder 16-injap 421cc DOHC penyejukan cecair.
Enjin tersebut menghasilkan output kuasa 57kW (76.4hp) @ 14,000rpm dan tork 39Nm @ 13,000rpm serta dipadankan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), klac basah multiplat, penghidup elektrik dan transmisi pacuan rantai, selain kapasiti tangki bahan api 16.5 liter.
Pengendalian, Sistem Brek
Dari segi pengendalian, QJMotor SRK450RR menggunakan sistem suspensi fork terbalik (USD) Marzocchi di depan dan monoshock di belakang. Kombinasi itu direka bagi memastikan kestabilan dan ketepatan kawalan pada kelajuan tinggi.
Sistem brek menggunakan brek cakera kembar Brembo 300mm di depan, dan brek cakera tunggal 240mm di belakang berserta Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dwi-saluran. Saiz tayar 120/70 ZR17 di depan dan 160/70 ZR17 di belakang melengkapkan pakej cengkaman motosikal itu.
Teknologi, Dimensi
Teknologi QJMotor SRK450RR dilengkapi panel meter TFT, port USB Type-A dan Type-C, lampu LED penuh dengan lampui siang (DRL), Sistem Kawalan Traksi (TCS) boleh laras, perakam video (depan dan belakang) dan Kawalan Luncur .
Turut ditawarkan ialah sambungan Bluetooth, aplikasi Carbit Ride, pencerminan skrin Screen Mirroring untuk Android dan iOS, navigasi terbina dalam, Sistem Pemantau Tekanan Tayar (TPMS), winglet, visor angin dan dua mod tunggang Normal dan Sport.
Dari segi dimensi, motosikal ini memiliki panjang 2,020mm, lebar 755mm, dan tinggi 1,130mm serta berat kering 176kg.
SRK250RD - Supersport Mampu Milik
QJMotor SRK250RD pula ditawarkan pada harga RM21,888, tidak termasuk cukai jalan dan insurans, dalam pilihan warna White (putih), Red (merah) dan Black (hitam). Model itu dikuasakan enjin 4-silinder 16-injap 249cc DOHC penyejukan cecair.
Enjin tersebut mampu menjana output kuasa 30kW (40.2hp) @ 15,500rpm dan tork 22Nm @ 12,500rpm, serta dipadankan sistem suntikan bahan api elektronik (EFI), klac basah multiplat, penghidup elektrik dan transmisi pacuan rantai.
Kapasiti tangki bahan api 16 liter.
Casis, Brek dan Teknologi
Bab pengendalian, QJMotor SRK250RD (foto atas kanan) turut menggunakan fork terbalik (USD) Marzocchi di depan dan monoshock di belakang. Sistem brek menggunakan brek cakera kembar Brembo 320mm di depan dan brek cakera tunggal 240mm di belakang, yang dilengkapi ABS dwi-saluran.
Ciri teknologi ialah panel meter TFT, port USB Type-A dan Type-C, lampu LED penuh, TCS boleh dihidupkan atau dimatikan, kamera depan dan belakang, TPMS, winglet, visor angin, Kawalan Luncur, Bluetooth, navigasi terbina dalam pencerminan skrin Screen Mirroring untuk Android dan iOS.
Waranti dan Ketersediaan di Malaysia
Setiap pembelian QJMotor SRK250RD dan SRK450RR hadir dengan waranti pengeluar dua tahun dengan perbatuan tanpa had. Pemilik juga mendapat akses kepada alat ganti tulen secara dalam talian menerusi platform perkhidmatan Mforce Bike Holdings Sdn Bhd.
Kedua-dua model supersport itu kini boleh didapati di semua pengedar sah Mforce seluruh Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan QJMotor dalam segmen motosikal prestasi tinggi tempatan.































Leave a Reply