• UTAMA
  • EDITORIAL
  • PENGIKLANAN
  • HUBUNGI KAMI

PanduLaju.com.my

Tekan Pedal dan Jangan Stres

  • Auto Terkini
  • Roda4
  • Roda2
  • Pandu Uji
  • Bikin Auto
  • Autotainment
  • Sembang Deras
  • Aksesori
  • PR NEWSWIRE
You are here: Home / Auto Terkini / BMW Group Malaysia Terus Jadi Pilihan Utama Automotif Premium

BMW Group Malaysia Terus Jadi Pilihan Utama Automotif Premium

January 16, 2026 By Shazwan Hisam Leave a Comment

FacebookTwitter

BMW Group Malaysia meneruskan momentum cemerlangnya sebagai peneraju automotif premium di negara ini, sekali gus mengukuhkan kedudukan sebagai Pengeluar Kenderaan Elektrik Premium Nombor Satu Malaysia. Dengan lebih lima dekad kehadiran dalam industri automotif tempatan, prestasi tahun 2025 mencerminkan keyakinan pelanggan yang berterusan terhadap jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad.

Pada tahun 2025, BMW Group Malaysia mencatatkan penyerahan lebih 10,800 unit kenderaan merangkumi BMW, MINI dan BMW Motorrad, dengan 55 peratus daripadanya merupakan model pemasangan tempatan. Pencapaian ini mengekalkan kedudukan BMW Group Malaysia sebagai Pengeluar Automotif Premium Nombor Satu Malaysia sejak 2020, di samping memperlihatkan komitmen jangka panjang jenama terhadap pembangunan industri automotif negara.

Kepimpinan Konsisten dalam Mobiliti Elektrik Premium

Selari dengan peralihan global ke arah elektrifikasi, BMW Group Malaysia terus mendominasi segmen kenderaan elektrik premium tempatan untuk tahun keenam berturut-turut. Sepanjang 2025, lebih 2,700 unit kenderaan serba elektrik BMW, MINI dan BMW Motorrad telah diserahkan, mewakili 25.2 peratus daripada keseluruhan jumlah penyerahan tahunan peningkatan ketara berbanding 20.6 peratus pada 2024.

Peningkatan ini membuktikan penerimaan kukuh pasaran terhadap portfolio kenderaan elektrik BMW Group Malaysia yang semakin meluas, merangkumi segmen sedan, SAV, hatchback dan motosikal, sekali gus memberikan pelanggan kuasa pilihan sejajar dengan prinsip keterbukaan teknologi jenama tersebut.

Prestasi Kukuh Setiap Jenama di Bawah Kumpulan

Dari sudut prestasi jenama, BMW mencatatkan lebih 7,700 unit penyerahan kenderaan premium sepanjang 2025. MINI Malaysia pula merekodkan lebih 1,500 unit penyerahan, meningkat 8.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala BMW Motorrad meneruskan trajektori positif dengan lebih 1,600 unit motosikal premium diserahkan, peningkatan tahunan sebanyak 3.8 peratus.

Prestasi seimbang merentasi ketiga-tiga jenama ini mengukuhkan kekuatan portfolio BMW Group Malaysia yang merangkumi pelbagai segmen, daripada kenderaan penumpang premium sehingga motosikal berprestasi tinggi dan mobiliti bandar.

Momentum Produk, Pengaruh Global

Tahun 2025 turut disokong oleh momentum produk yang agresif dengan pengenalan 37 model dan varian baharu dalam pasaran tempatan. Strategi ini mengukuhkan lagi janji jenama untuk menawarkan pilihan mobiliti yang pelbagai, sama ada enjin pembakaran dalaman, hibrid mahupun serba elektrik.

Di peringkat global, BMW Group mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju segmen premium dengan penjualan lebih 2.46 juta kenderaan pada 2025. MINI mencatat pertumbuhan global memberangsangkan sebanyak 17.7 peratus, manakala jualan kenderaan serba elektrik BMW Group meningkat kepada lebih 442,000 unit, menandakan keberkesanan strategi elektrifikasi jangka panjang kumpulan tersebut.

Model Elektrik Paling Laris di Malaysia

Dalam portfolio BMW i, BMW iX2 xDrive30 M Sport muncul sebagai model serba elektrik paling laris dengan lebih 460 unit diserahkan. Ia diikuti rapat oleh BMW i5 eDrive40 M Sport dengan lebih 450 unit, mencatat pertumbuhan 10.8 peratus berbanding 2024, manakala BMW iX1 eDrive20 M Sport merekodkan peningkatan ketara sebanyak 41.1 peratus dengan lebih 340 unit penyerahan.

Bagi MINI, jualan kenderaan elektrik melepasi 700 unit pada 2025, mewakili hampir separuh daripada keseluruhan penyerahan jenama itu. MINI Aceman SE mendahului segmen ini dengan lebih 330 unit, diikuti MINI Countryman SE ALL4. Dalam segmen dua roda, BMW Motorrad mencatat pertumbuhan kukuh menerusi BMW CE 04 dan CE 02, dengan lebih 170 unit motosikal elektrik diserahkan.

Infrastruktur Pengecasan, Pencapaian Bersejarah

Menyokong pertumbuhan ini, BMW Group Malaysia kini menawarkan akses kepada lebih 2,000 kemudahan pengecasan awam melalui kerjasama dengan penyedia utama seperti Gentari, ChargEV, Yinson Greentech dan JomCharge. Selain itu, lebih 100 kemudahan pengecasan BMW i dan MINI tersedia di pusat pameran serta lokasi rakan strategik di seluruh negara.

Salah satu pencapaian paling signifikan tahun 2025 ialah pelancaran BMW i5 eDrive40 M Sport Pro pemasangan tempatan, yang juga merupakan kenderaan BMW serba elektrik pertama dipasang di rantau Asia-Pasifik. Pengenalan ini menandakan keyakinan BMW Group Malaysia terhadap keupayaan tempatan dan peranan Malaysia sebagai hab pembuatan strategik.

Kepercayaan Pelanggan, Komitmen Jangka Panjang

Daripada segi model konvensional, BMW 3 Series kekal sebagai model paling laris dengan lebih 1,300 unit diserahkan, diikuti BMW 5 Series dan BMW X1. MINI Countryman pula menerajui prestasi MINI dengan lebih 900 unit, manakala BMW Motorrad menyaksikan lonjakan besar dalam segmen Adventure dipacu oleh BMW R 1300 GS Adventure.

BMW Group Malaysia juga mengekalkan skor kepuasan pelanggan bertaraf dunia, dengan Net Promoter Score yang sangat tinggi bagi jualan dan perkhidmatan untuk ketiga-tiga jenama. Digabungkan dengan pelaburan berterusan dalam infrastruktur, pembangunan bakat tempatan dan kemudahan logistik baharu, BMW Group Malaysia terus memperkukuh peranannya dalam membentuk masa hadapan automotif premium dan mobiliti elektrik di Malaysia.

Related

FacebookTwitter

Filed Under: Auto Terkini, Kenderaan Elektrik (EV), Roda2, Roda4 Tagged With: Auto Terkini, BMW Cars, BMW CE 02, BMW CE 04, BMW Group Malaysia, BMW i5 eDrive40 M Sport, BMW iX1, BMW iX2, BMW Motorrad, BMW R1300GS Adventure, Data 2025 BMW Group Malaysia, Jualan terkini BMW Malaysia, MINI Ace SE, MINI Countryman SE ALL4, Mini Malaysia

Leave a Reply Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CARIAN AUTO

Pilihan Ramai

  • Chery Malaysia Tawar Rebat hingga RM16,888 Sempena Tahun Baharu Cina!
    Chery Malaysia Tawar Rebat hingga RM16,888 Sempena Tahun Baharu Cina!
  • Lambretta Malaysia Umum Pelan 2026, Sasar Perluasa Rangkaian Nasional
    Lambretta Malaysia Umum Pelan 2026, Sasar Perluasa Rangkaian Nasional
  • Kia EV2 dengan Jarak Lebih 440km, EV Kompak Saiz Macam Ativa!
    Kia EV2 dengan Jarak Lebih 440km, EV Kompak Saiz Macam Ativa!
  • Yamaha Ego Avantiz 2026 Diperkenal dengan Pilihan Warna Lebih Segar
    Yamaha Ego Avantiz 2026 Diperkenal dengan Pilihan Warna Lebih Segar

Pandu Uji

Cabaran pandu uji Chery Tiggo PHEV sejauh 1,200km

#PanduUji: Chery Tiggo 8 PHEV, Tiggo 7 PHEV Langsai 1,200km Setangki Minyak Penuh!

#PanduUji: Inilah Cara Menang Cabaran Pandu Proton e.MAS 5 Paling Jimat, Hanya 9.6kW/100km!

Tunggang uji Yamaha NVX SP 2025

#TunggangUji: Betul Ke Yamaha NVX SP Rasa Macam Ada Turbo atau Sekadar 'Hype'?

Pandu uji Hundai Tucso dan Santa Fe dari KL - Desaru

#PanduUji: Jelajah Hyundai Tucson, Hyundai Santa Fe 2025 dari KL ke Desaru

2014 – 2025 © PanduLaju.com.my