![]()
BMW Group Malaysia mengorak langkah penting dalam agenda kemampanan negara menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Malaya (UM), yang menumpukan kepada aplikasi bateri EV hayat kedua bagi menyokong penyimpanan tenaga mampan dan inisiatif elektrifikasi luar bandar dan komuniti.
Kerjasama itu memanfaatkan bateri kenderaan elektrik (EV) BMW yang tamat penggunaan automotif untuk diberi kitar hayat baharu sebagai sistem penyimpanan tenaga, selari aspirasi ekonomi kitaran dan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Kerjasama Industri - Akademia Tenaga Mampan

Dalam majlis memorandum persefahaman (MoU) yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 15 Januari 2026, BMW Group Malaysia akan membekalkan bateri EV terpakai kepada Pusat Kecemerlangan Termaju Tenaga Kuasa UM (UMPEDAC) bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi penyimpanan tenaga.
Hasil R&D itu akan diterjemah kepada aplikasi dunia sebenar menerusi projek pembangunan mampan dan penglibatan komuniti di bawah Pusat Pembabitan Komunitt UM (UMCares) dan Pusat Pembangunan Mampan UM (UMSDC) menerusi penekanan kepada kegunaan di kawasan luar bandar.
Memanjangkan Kitar Hayat Bateri EV

Kerjasama itu menzahirkan komitmen BMW Group Malaysia terhadap prinsip Kitaran dan Mobiliti Mampan, dengan memanjangkan kitar hayat bateri EV melepasi penggunaan asal dalam sektor automotif.
Antara aplikasi diterokai seperti:
- Sistem penyimpanan tenaga pegun
- Sokongan kepada integrasi tenaga boleh diperbaharui
- Penyelesaian tenaga mampan di persekitaran kampus dan komuniti
Ini sekali gus mengurangkan pembaziran dan kebergantungan kepada sumber tenaga konvensional.
Perkongsian Kepakaran,Pembangunan Modal Insan

Selain aspek teknikal, kolaborasi itu turut merangkumi perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti antara pakar BMW Group Malaysia dengan fakulti dan pelajar UM.
Inisiatif itu membuka peluang kepada penyelidikan bersama, pembangunan kes penggunaan teknikal bateri hayat kedua, dan pelaksanaan program penglibatan awam yang memupuk kesedaran terhadap kemampanan dan ekonomi kitaran.
Komitmen BMW Terhadap Ekonomi Kitaran

Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, kerjasama ini memastikan bateri EV BMW terus menjana nilai walaupun selepas tamat kitar hayat automotif, sambil menyumbang kepada penyelesaian yang memberi manfaat alam sekitar dan sosial.
Inisiatif tersebut juga selari aspirasi BMW Group Malaysia untuk memperkukuh ekosistem EV tempatan melalui inovasi mampan dan kolaborasi strategik bersama institusi tempatan.
Sokong Agenda Mampan Nasional

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman berkata, potensi besar bateri hayat kedua dalam menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui dan membuktikan kebolehlaksanaan ekonomi kitaran dalam amalan sebenar.
Kerjasama itu dijangka menyumbang kepada pembangunan ekosistem EV Malaysia lebih mampan, selain memperkukuh peranan industri dan akademia dalam menangani cabaran tenaga masa depan.
Sebahagian Inisiatif RE:THINK, RE:GENERATE

Kerjasama dengan UM itu dibina berasaskan inisiatif kemampanan berterusan BMW Group Malaysia di bawah program RE:THINK dan RE:GENERATE, yang menekankan pengurangan sisa, penggunaan semula dan kitar semula sumber merentasi rantaian nilai perniagaan.
Melalui pendekatan berteraskan ekonomi kitaran tersebut, BMW Group Malaysia terus memperkukuh peranan dalam memacu mobiliti mampan dan penyelesaian tenaga yang memberi impak jangka panjang kepada masyarakat serta alam sekitar.









Leave a Reply