
Kesalahan itu dilakukan untuk membolehkan pesalah itu mengisi petrol bersubsidi RON95.
Didakwa Ubah Suai Nombor Pendaftaran
Orang Kena Saman (OKS), Long Sa Kow, 64, yang juga pemastautin tetap Singapura, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Inggeris di depan Majistret R Salini.
Mengikut pertuduhan, OKS yang juga pemandu kereta jenis Volkswagen Jetta didakwa mempamerkan nombor pendaftaran yang bukan milik kenderaan tersebut.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah stesen minyak di Batu 21 1/4, Jalan Johor Bahru - Air Hitam di Kulai, kira-kira jam 10.30 malam pada 2 Januari lalu, ketika OKS sedang mengisi petrol RON95.
Didakwa Bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987
Pendakwaan dibuat bawah Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntuk hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000, atau penjara selama tempoh antara satu hingga lima tahun, atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Sharmaine Fairuz Mohd Zulkifli.
Rayuan Hukuman Minimum Dikemuka
Dalam rayuan, Sharmaine memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan alasan OKS ialah pesara yang tiada pendapatan tetap.
Beliau berkata, OKS menanggung seorang isteri yang juga suri rumah berserta tiga anak, dan dua daripadanya masih bersekolah.
Ini kesalahan pertama OKS dan beliau berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut dan akan mematuhi undang-undang serta peraturan ditetapkan Kerajaan Malaysia," katanya.
Pendakwaan Mohon Hukuman Pencegahan
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman berbentuk pencegahan dan pengajaran.
Hukuman ini bukan saja bagi memastikan OKS tidak mengulangi perbuatan sama, tetapi sebagai pengajaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kesalahan serupa," kata Thiviya.
Menurut pendakwaan, mahkamah boleh meneliti niat OKS yang mengubah dan mempamerkan nombor pendaftaran kenderaan bagi menikmati kemudahan yang dikhaskan kepada rakyat Malaysia, termasuk penggunaan petrol bersubsidi RON95.
Video Tular Bongkar Taktik Tutup Huruf Nombor Plat
Berdasarkan fakta kes diakui OKS, pada 4 Januari lalu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai mengesan video tular di media sosial yang memaparkan sebuah Volkswagen Jetta berwarna perak bernombor pendaftaran LJ 8967 sedang mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di daerah itu.
Hasil siasatan mendapati OKS ialah pemandu kenderaan tersebut yang sebenarnya didaftarkan dengan nombor pendaftaran SLJ 8967 M, namun huruf 'S' dan 'M' ditutup bagi membolehkan kenderaan itu kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Pemeriksaan lanjut ke atas nombor enjin dan casis mengesahkan kenderaan tersebut berdaftar dengan nombor pendaftaran SLJ 8967 M, dan bukan LJ 8967 seperti dipamerkan.
Tular di Media Sosial Sehari Sebelum Tangkapan
Terdahulu, pada 3 Januari, tular sebuah video 1 minit 30 saat di media sosial yang mendedahkan seorang individu mengesan perbuatan pemandu kereta berdaftar di Singapura sedang mengisi petrol RON95.
Pemilik video tersebut mendakwa perbuatan menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran itu berkemungkinan taktik baharu bagi mengelirukan pihak berkuasa, supaya kenderaan asing kelihatan seperti kenderaan tempatan.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply