
DAERAH Ampang Jaya merekodkan jumlah saman kesalahan trafik tertinggi di Selangor dengan 199 saman dikeluarkan sepanjang pelaksanaan Ops Ambang Tahun Baharu 2026 pada Khamis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi yang dilaksanakan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor itu bertujuan mengawal disiplin pemanduan serta mengekang pelanggaran undang-undang sepanjang sambutan ambang tahun baharu.
Hasil pemantauan di lapangan mendapati sebanyak 1,206 saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya yang gagal mematuhi peraturan trafik,” katanya.
Shah Alam, Petaling Jaya Antara Daerah Tertinggi
Menurut beliau, selain Ampang Jaya, Shah Alam merekodkan 161 saman, diikuti Petaling Jaya (156), Klang Utara (124), Klang Selatan (80) dan Sungai Buloh (74).
Daerah-daerah lain di Selangor turut berada di bawah pemantauan rapi pihak polis sepanjang operasi berkenaan.
413 Pegawai dan Anggota Digerakkan
Datuk Shazeli berkata, operasi itu melibatkan kekuatan keseluruhan 413 pegawai dan anggota, termasuk 350 pegawai dan anggota JSPT Selangor.
Operasi turut disertai 41 anggota bantuan daripada jabatan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Tugas Am,” katanya.
Penguatkuasaan turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (19 pegawai) serta RELA (tiga anggota) bagi memastikan laluan kritikal di bawah pentadbiran Kontinjen Selangor berada dalam keadaan terkawal dan selamat.
93 Kenderaan Disita, Tujuh Individu Ditahan
Dalam operasi sama, polis turut menyita 93 buah kenderaan atas pelbagai kesalahan trafik.
Seramai tujuh individu ditahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, termasuk dua tangkapan di bawah Seksyen 45A(1), dua di bawah Seksyen 42(1) dan tiga di bawah Seksyen 108(3),” katanya.
Polis Selangor Beri Amaran Keras
Datuk Shazeli menegaskan bahawa Polis Kontinjen Selangor tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan undang-undang jalan raya yang boleh mengancam keselamatan dan nyawa orang awam.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya mengamalkan disiplin pemanduan berhemah serta mematuhi undang-undang demi menjamin keselamatan dan kesejahteraan bersama.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply