
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan kutipan kompaun melebihi RM9 juta bagi tempoh Januari hingga November tahun lalu.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan 5.55 peratus berbanding lebih RM8.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Sebanyak lebih RM9 juta kutipan kompaun direkodkan, meningkat RM520,785 atau 5.55 peratus berbanding tahun 2024.
"Peningkatan ini antara lain hasil pelaksanaan pengurangan kadar kompaun sebanyak 50 peratus dan pengenalan Program BUDI MADANI RON95," katanya.
Lebih 200,000 Kenderaan Diperiksa
Menurut beliau, sepanjang tempoh sama, JPJ Kelantan sudah memeriksa 200,076 kenderaan, dengan tindakan diambil terhadap 58,541 kenderaan.
Selain itu, pihaknya turut mengeluarkan lebih 116,000 notis kesalahan dan menyita hampir 500 kenderaan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
32,455 Kes Dibawa ke Mahkamah
Mohd Misuari berkata, sebanyak 32,455 kes sudah dibawa ke mahkamah, termasuk 32,423 kes di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang menjana kutipan hasil sebanyak RM2,437,120.
Selain itu, 32 kes lagi melibatkan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dengan kutipan berjumlah RM56,500," katanya.
Fokus Kesalahan Berisiko Tinggi
Beliau menegaskan, operasi penguatkuasaan JPJ Kelantan akan terus diperkasa, khususnya kesalahan berisiko tinggi seperti memandu laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memandu di bawah pengaruh alkohol.
Pendekatan penguatkuasaan dan pendidikan akan terus dilaksanakan secara seiring bagi memastikan keselamatan jalan raya di Kelantan berada pada tahap terbaik dan lebih lestari," katanya.
SUMBER: SinarHarian
Leave a Reply