
PROJEK pembinaan Lapangan Terbang Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) bernilai RM18.3 juta di Tanjung Laboh di Senggarang, Batu Pahat dijangka siap sepenuhnya menjelang April 2026 dan bakal menjadi mercu tanda baharu Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, setakat ini projek berkenaan sudah mencapai 71 peratus kemajuan pembinaan.
Menurutnya, lapangan terbang itu dilengkapi landasan sepanjang 800 meter dan menara kawalan trafik udara setinggi 12 meter, selain dibangunkan di atas kawasan seluas 22.6 hektar.
Potensi 'Maldives Selatan' Johor
Insya-Allah, Tanjung Laboh berpotensi menjadi 'Maldives Selatan' di Malaysia, manakala Universiti Tun Hussein Onn Malaysia pula akan muncul sebagai universiti pertama di Asia Tenggara yang memiliki lapangan terbang maritim sendiri,” katanya.
Pusat Latihan, Perkhidmatan Penerbangan
Beliau berkata, Lapangan Terbang UTHM bukan saja berfungsi sebagai pusat latihan juruterbang, tetapi berpotensi menawarkan perkhidmatan penerbangan sewaan, operasi pesawat laut, selain menjadi pusat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi pesawat dan helikopter.
Pembangunan itu dijangka menyumbang kepada pertumbuhan sektor pendidikan, latihan penerbangan dan ekonomi setempat, selain memperkukuh ekosistem industri aeroangkasa di Johor.
SUMBER: BeritaHarian


Leave a Reply