
JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mencatatkan hampir 2,700 pemilik kenderaan mewah seluruh negara dikesan gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan, dengan pemilik Porsche merekodkan jumlah tertinggi, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap tahap pematuhan dalam kalangan pemilik kenderaan bernilai tinggi.
JPJ Malaysia secara khusus memaklumkan sebanyak 2,685 kenderaan mewah dikenal pasti tidak mempunyai LKM sah menerusi OpLuxury bagi tempoh 1 Januari hingga 18 Disember 2025.
Data JPJ Diperolehi
Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ Malaysia, Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, Porsche mencatatkan angka tertinggi dengan 1,887 kenderaan, disusulu Ferrari (223 pemilik), Lamborghini (195 pemilik), Bentley (172 pemilik), Maserati (88 pemilik), Rolls-Royce (64 pemilik) dan Aston Martin (56 pemilik).
Beliau berkata, kegagalan memperbaharui LKM adalah kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, selain mendedahkan pemilik kepada risiko besar kerana kenderaan tanpa LKM adalah tidak dilindungi insurans, sekali gus boleh membawa implikasi kewangan dan perundangan serius jika berlaku kemalangan.
Kutipan LKM Meningkat

Dalam perkembangan berkaitan, OpLuxury mencatatkan peningkatan ketara dalam pembaharuan LKM, melibatkan 12,921 kenderaan mewah dengan jumlah kutipan mencecah RM34.47 juta.
Sekali lagi, Porsche merekodkan nilai tertinggi dengan 10,142 kenderaan diperbaharui, menyumbang kutipan RM17.94 juta.
Setakat ini, 855 kenderaan mewah disita sejak OpLuxury dilaksanakan pada Julai 2025. JPJ turut memberi amaran, 2,685 kenderaan yang masih tidak patuh kini berada dalam pemantauan penguatkuasaan dan tindakan sitaan akan diambil sekiranya LKM tidak diperbaharui segera.
Tunggakan Saman Cecah RM1.45 Bilion
Dalam sidang media sama, JPJ mendedahkan 4.841 juta saman JPJ masih belum dibayar, membabitkan tunggakan bernilai RM1.45 bilion.
Bagaimanapun, menerusi inisiatif diskaun Kerajaan, 583,281 saman sudah diselesaikan setakat ini, dengan kutipan RM77.27 juta.
Kerajaan kini menawarkan diskaun kompaun 50 peratus bagi saman JPJ dan 70 peratus bagi saman polis hingga 30 Disember 2025, dan orang ramai dinasihatkan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan kesesakan di kaunter atau platform pembayaran dalam talian.
JPJ turut mengingatkan pemilik kenderaan bahawa semakan dan pembaharuan boleh dibuat melalui portal MySikapdan aplikasi MyJPJ, selaras usaha berterusan memperkukuh penguatkuasaan demi keselamatan pengguna jalan raya.
SUMBER: TheBorneoPost


Leave a Reply