
NISSAN Mexicana melancarkan varian terbaharu trak pikap ikonik mereka iaitu Nissan Frontier V6 PRO-4X NISMO.
Pengenalan ini menandakan satu sejarah penting bagi jenama berkenaan kerana buat pertama kalinya komponen prestasi tinggi daripada NISMO ditawarkan untuk model utama pikap di pasaran Mexico.
Bukan sahaja Mexico, penawaran pikap NISMO juga belum pernah ditawarkan di Malaysia yang turut sinonim dengan produk NISMO, Autech dan Impul dari ETCM.

Untuk makluman, Frontier Mexico sama seperti di Amerika Syarikat yang dilancarkan pada 2021 dan bukan versi Frontier Pro yang baru sahaja dijual China.
Sementara itu, Navara generasi keempat sudah dilancarkan di Australia dan ini yang bakal menggantikan Navara semasa.

Gabungan DNA Prestasi Dan Kejuruteraan Jepun

Model Nissan Frontier V6 PRO-4X NISMO membawa identiti prestasi dan kepakaran kejuruteraan Jepun terus ke dalam segmen kenderaan lasak.
Koleksi komponen eksklusif ini dibangunkan sepenuhnya oleh NISMO yang merupakan divisyen penalaan, sukan permotoran dan prestasi bagi Nissan.
Tujuan utama pembangunan komponen ini adalah untuk memperkasakan lagi keupayaan model PRO-4X daripada aspek ketahanan, gaya serta kebolehan mengharungi pelbagai bentuk muka bumi.
Spesifikasi dan Komponen Prestasi NISMO Off-Road

Varian ini mengekalkan nadi enjin 3.8 liter V6 yang dipadankan dengan sistem pacuan 4x4.
Nissan tidak memperincikan kuasa memandangkan pikap ini menggunakan ekzos NISMO kecuali dalam keadaan standard berkuasa 310 hp pada 6,400 rpm dan tork setinggi 381Nm pada 4,400 rpm.

Enjin dipadankan dengan transmisi automatik 9 kelajuan dan sistem pacuan 4x4 yang dilengkapi Shift on the fly serta kunci diferensial.
Apa yang membezakan varian ini dengan model Frontier lain adalah penambahan rangkaian komponen NISMO Off Road yang direka khusus untuk meningkatkan prestasi keseluruhan melalui aksesori yang siap dipasang seperti berikut:
- Rim NISMO Off Road AXIS: Rim aloi ringan bersaiz 17 inci yang memberikan penampilan baharu serta meningkatkan daya tahan kenderaan ketika dipandu di laluan yang paling ekstrem.
- Kit Suspensi NISMO: Menggunakan penyerap hentak Bilstein pada bahagian hadapan dan jenis monotube Bilstein berprestasi tinggi pada bahagian belakang. Pemasangan aksesori ini memerlukan penggunaan lengan kawalan NISMO Off Road yang diperbuat daripada keluli tempa T6.
- Sistem Ekzos NISMO Cat Back: Komponen ini berfungsi mengoptimumkan aliran keluar ekzos sekali gus menghasilkan bunyi enjin yang lebih mendalam dan berkuasa berbanding sistem standard.
- Grafik Vinil NISMO: Terdapat pelekat vinil khas pada bahagian bonet dan sisi yang menyerlahkan karakter sporti serta identiti NISMO selain berfungsi memberi perlindungan tambahan kepada cat asal.
Harga Dan Eksklusiviti Pasaran
Nissan Frontier V6 PRO-4X NISMO bagi model tahun 2026 akan ditawarkan dalam jumlah terhad iaitu 250 unit sahaja dan setiap satu berharga MXN1,249,900 (RM283,227).
Tawaran ini tersedia sehingga semua unit habis dijual di pasaran.
Gambar: Nissan











Leave a Reply