
JENAMA motosikal ikonik, Ducati, sekali lagi mencuri perhatian dengan pelancaran edisi khas Panigale V4 Marquez, hanya dua bulan selepas memperkenalkan model edisi Marc Marquez sebelum ini.
Berasaskan Panigale V4 S model 2025, jentera ini tampil dengan DNA MotoGP yang sangat ketara serta pengeluaran terhad kepada hanya 293 unit di seluruh dunia. Harga yang diumumkan juga eksklusif, iaitu £79,300 atau RM434,000, menjadikannya antara superbike edisi khas termahal Ducati setakat ini.
Kuasa Meningkat, Berat Menurun

Dari segi prestasi, Panigale V4 Marquez menggunakan enjin 1,103cc Desmosedici Stradale dengan peningkatan kuasa kepada 218.5hp pada 13,500rpm, berbanding 216hp pada versi standard. Lonjakan kuasa ini hasil penggunaan ekzos Akrapovič khas bersama talaan enjin baharu, di samping pengurangan berat sebanyak 2.5kg.
Rim gentian karbon lima jejari turut membantu menjimatkan hampir 1kg lagi, meningkatkan respons dan pengendalian keseluruhan.
Teknologi Kekal Premium
Dari sudut teknologi dan komponen, model ini dipadankan dengan Corner Sidepods aerodinamik yang diadaptasi terus daripada jentera MotoGP Ducati, membantu meningkatkan cengkaman tayar ketika sudut kecondongan tinggi.
Sistem brek Front Brake Pro+ pula menggunakan cakera Brembo T-Drive 338.5mm bersama angkup GP4 Sport, setara spesifikasi perlumbaan WSBK. Suspensi kekal premium dengan fork Öhlins NPX-30 dan penyerap hentak Öhlins TTX36 boleh laras penuh.
Sentuhan Unik Khas
Sebagai sentuhan eksklusif, pemilik turut menerima klac kering, footpeg aluminium boleh laras, modul GPS serta beberapa komponen litar seperti penutup klac karbon dan kit untuk membuka pemegang nombor pendaftaran.
Lebih istimewa, tangki minyak motosikal ini ditandatangani sendiri oleh Marc Marquez, juara dunia MotoGP 2025 bersama Ducati, menjadikan Panigale V4 Marquez bukan sekadar jentera prestasi tinggi, tetapi juga koleksi bernilai tinggi untuk peminat sejati Ducati dan Marquez.
SUMBER: VisorDown







Leave a Reply