
SEBUAH motosikal jenama Riley keluaran 1904, juga satu-satunya contoh model yang masih wujud di Britain hilang dicuri dalam insiden pecah masuk di Newmarket, Suffolk, England.
Motosikal berusia 121 tahun itu hilang antara malam Isnin, 15 Disember hingga pagi Selasa baru-baru ini selepas sebuah treler berkunci dalam bangunan konkrit, juga berkunci dalam kawasan berpagar, dipecah masuk.
Motosikal bersejarah itu adalah milik waris generasi keempat pengasas Riley Motor Company, Bill Fellowes, dan dianggap khazanah penting dalam sejarah industri automotif British.
Pemiliknya mendakwa motosikal berkenaan sepatutnya diwariskan kepada generasi seterusnya kerana nilai sentimental dan sejarah tidak ternilai.
Nilai Sejarah Tinggi, Sukar Diganti
Menurut Fellowes, motosikal tersebut dianggarkan bernilai sekitar £10,000 (~RM55,000), tetapi nilai sebenar jauh melebihi angka itu kerana keunikannya. Beliau juga memaklumkan hanya satu lagi motosikal Riley seumpamanya diketahui wujud, iaitu di Kanada.
Ia membawa makna besar kepada keluarga kami. Ini sebahagian sejarah yang tidak boleh diganti," katanya.
Fellowes menjelaskan, Riley bermula sebagai pengeluar reben dan mesin tenunan di Coventry sebelum berkembang kepada pembuatan basikal, motosikal dan seterusnya kereta, dengan operasi keluarga itu berterusan hingga sekitar 1970-an.
Bukan Mudah Nak Hidup
Menariknya, motosikal berkenaan bukan model yang mudah digunakan kerana tiada klac, dan perlu dikayuh seperti moped lama untuk menghidupkan enjin.
Penunggang juga perlu mengawal campuran bahan api dan talaan awal serta pencucuhan lewat, sekali gus menjadikan motosikal itu hampir mustahil digunakan pencuri biasa.
Fellowes percaya insiden itu bersifat sistematik kerana beberapa hartanah luar bandar di kawasan sama turut menjadi sasaran kebelakangan ini. Beliau turut menawarkan ganjaran kepada sesiapa yang dapat membantu memulangkan motosikal tersebut dan berharap ia tidak dimusnahkan atau dibuang.
SUMBER: MotorcycleNews




Leave a Reply