
Audi Group memeterai kerjasama strategik dengan syarikat pakar teknologi, rekabentuk dan kejuruteraan kecerdasan buatan (AI) global dari Amerika Syarikat (AS), UST untuk memperoleh pegangan majoriti dalam Italdesign.
UST, yang beribu pejabat di Aliso Viejo, California, AS sudah bekerjasama rapat dengan pengeluar automotif terkemuka dan OEM utama sejak 1999.
Italdesign pula ialah pemain global dalam rekabentuk, kejuruteraan dan pengeluaran automotif dengan pengalaman lebih 57 tahun dan beribu pejabat di Turin, Itali.

Firma induk semasa Italdesign, Lamborghini, yang juga sebahagian Audi Group, akan mengekalkan pegangan signifikan. Langkah itu akan memastikan Audi kekal sebagai rakan strategik jangka panjang Italdesign dan pelanggan penting firma tersebut.
Italdesign sudah menjadi sebahagian subsidiari Volkswagen Group sejak 2010.
Sumbangan Italdesign dalam Automotif Malaysia
Italdesign dikenali secara global atas kepakaran dalam rekabentuk dan kejuruteraan. Di Malaysia, Italdesign pernah terlibat dalam pembangunan Proton Prevé (foto atas kiri) melalui khidmat rekabentuk.
Selain itu, Italdesign juga pernah membangunkan model konsep Proton EMAS (Eco Mobility Advance Solution), sebelum Proton memperkenalkan Iriz.

Model konsep Proton Emas itu mewakili wawasan awal Proton untuk beralih ke teknologi eko apabila dikuasakan teknologi ekstender jarak (range extender).
Wawasan Proton tersebut = menjadi kenyataan melalui siri kenderaan elektrik (EV) e.MAS yang kini berada di pasaran.
Kombinasi Kepakaran untuk Mobiliti Digital

Pengambilalihan majoriti Italdesign itu mewujudkan perkongsian kukuh kerana menggabungkan kepakaran UST dalam bidang seperti:
- Kejuruteraan automotif
- Kecerdasan buatan (AI)
- Pembangunan kenderaan yang ditentukan perisian (software-defined vehicle)
- Rekabentuk ekosistem digital
Kepakaran tersebut digandingkan dengan pengetahuan mendalam Italdesign dalam:
- Rekabentuk kenderaan dan produk
- Kejuruteraan
- Prototaip
- Pengeluaran siri kecil (small series production)
- Elektronik automotif
Dengan gabungan keupayaan itu, kedua-dua syarikat akan menawarkan rangkaian perkhidmatan bersepadu yang komprehensif. bermula konsep awal dan rekabentuk, kepada pembangunan perkakasan dan perisian, hingga kepada sistem pengeluaran.
Peluasan Global

UST dan Italdesign bercadang meluaskan pendekatan bersepadu itu ke peringkat global yang membolehkan Italdesign mengembangkan kehadiran antarabangsa merentasi jejak global UST di lebih 30 negara, yang mana UST mempunyai lebih 30,000 pekerja.
Sebagai pemilik majoriti, UST akan mengambil alih pengurusan, tetapi kekal menghormati budaya Itali dan warisan rekabentuk Italdesign.


Leave a Reply