
PENGEDAR motosikal tempatan, MDUA Motor Sdn Bhd rasmi memperkenalkan model skuter baharu MODA Aero-E yang dilancarkan di Petaling Jaya. Skuter itu menyasarkan golongan muda yang mahukan tunggangan praktikal, bergaya dan sesuai dengan mobiliti bandar masa kini.
Membawakan bahasa rekabentuk lebih tajam dan aerodinamik, skuter itu ditawarkan dalam dua warna: Cobalt Blue (biru) dan Carmine Red (merah) pada harga RM5,189.
Enjin 118.8cc, Tunggangan Lebih Ringan
Di sebalik rekabentuk kompak, MODA Aero-E dipacu enjin 4-lejang SOHC 118.8cc penyejukan udara dengan sistem suntikan bahan api (FI) yang dioptimum untuk kegunaan bandar dengan menawarkan tunggangan lancar dan responsif dalam situasi trafik harian.
Dengan berat hanya 110kg, Aero-E memberikan keseimbangan baik antara kestabilan dan ketangksan, sekali gus memudahkan kawalan ketika melalui trafik atau bergerak di ruang sempit. Kapasiti tangki petrol 5.5 liter pula memberikan jarak perjalanan praktikal untuk kegunaan seharian.
Ruang simpanan bawah pelana 6.5 liter melengkapkan praktikaliti harian seperti menyimpan barangan kecil, sarung tangan atau item peribadi.
Lampu LED Penuh dengan Ciri Moden
MODA Aero-E tampil lebih premium dengan sistem lampu LED penuh. Bahagian depan dilengkapi lampu projektor LED kembar untuk suluhan lebih terang dan jelas pada malam, manakala lampu belakang LED rentang penuh menyerlahkan identiti moden skuter tersebut.
Panel meter digital LCD pula memaparkan maklumat penting tunggangan dengan lebih jelas, selaras trend motosikal masa kini. Turut disertakan dua kemudahan penting untuk pengguna moden, iaitu port USB Type-A dan USB Type-C bagi memastikan peranti peribadi sentiasa boleh dicas sepanjang perjalanan.
Tayar 14 Inci untuk Kawalan Lebih Stabil
MODA Aero-E menggunakan tayar 90/90-14 di depan dan 100/90-14 (belakang), kedua-dua tayar jenis tiubles serta dipadankan rim 14 inci. Kombinasi tersebut memberikan kawalan lebih yakin dan prestasi stabil atas pelbagai permukaan jalan.
Sistem brek pula menggunakan brek cakera di depan dan dram di belakang, manakala aspek pengendalian diserahkan kepada suspensi fork teleskopik di depan dan monoshock (belakang).
Harga Rasmi Malaysia

MODA Aero-E kini boleh didapati di semua pengedar sah MODA seluruh negara pada harga RM5,189, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans.
Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui saluran media sosial rasmi MODA atau laman web modamotorcycles.com.
Spesifikasi MODA Aero-E
- Enjin 4-lejang silinder tunggal 118cc SOHC penyejukan udara dengan sistem suntikan bahan api (FI)
- Output kuasa 9.1hp @ 7,500rpm dan tork 9.5Nm @ 6,000rpm
- Transmisi automatik CVT dengan pacuan V-Belt
- Kapasiti tangki petrol 5.5 liter
- Sistem suspensi fork teleskopik (depan), dan monoshock (belakang)
- Sistem brek cakera (depan), dan brek dram (belakang)
- Tayar tiubles 90/90-14 (depan), dan 100/90-14 (belakang)
- Jarak roda 1,316mm
- Tinggi pelana 780mm
- Berat 110kg
- Sistem pencucuh elektronik (transistorized)
- Sistem penghidup elektrik
- Emisi Euro4





























Leave a Reply