MITSUBISHI Motors Philippines Corporation (MMPC) akhirnya mendedahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) 7-kerusi Mitsubishi Destinator 2026 serba baharu yang sebelum ini muncul sebagai DST Concept di Pameran Auto Antarabangsa Filipian (PIMS) 2024.
Model pengeluaran itu kini hadir sebagai SUV famili moden yang menggabungkan gaya premium, ruang fleksibel dan prestasi yang sesuai untuk keluarga muda dan aktif.
MMPC menyasarkan Mitsubishi Destinator sebagai 'rakan perjalanan siap siaga' untuk pengguna yang mahukan kemasan SUV, tetapi memerlukan praktikaliti sebuah MPV. Ringkasnya, Mitsubishi mahu menjadikan model itu pilihan utama untuk keluarga Filipina yang semakin berkembang dan sukakan aktiviti luar.
Rekabentuk: Gaya Seakan XForce, Aura SUV Serba Moden
Dari luar, Mitsubishi Destinator mengadaptasi wajah ala XForce, seperti rekabentuk Dynamic Shield, lampu LED, dan lampu siang (DRL) bergaya. Bahagian sisi menampilkan garis badan kemas dan moden, yang dipadankan rim 18 inci dwi-tona potongan mesin (machine-cut).
Bahagian belakang pula membawakan:
- Spoiler bumbung
- Lampu belakang bentuk T-shape
- Bampar tebal imej lasak
Secara keseluruhan, Mitsubishi Destinator kelihatan seperti crossover tegap, tetapi elegan, seakan siap untuk dikerah ke mana sahaja. Model tersebut hadir dalam enam warna pilihan.
Dalaman: 7-Kerusi dengan Kabin Fleksibel, Teknologi Besar-Besaran

Masuk ke ruang kabin, Destinator menawarkan konfigurasi 7-kerusi dengan ruang barangan dan tempat duduk serba fleksibel yang sesuai untuk gaya hidup keluarga masa kini.
Ciri dalaman utama seperti:
- Kluster instrumen digital 8 inci, mirip Xpander/Xpander Cross baharu
- Unit infotainmen 12.3 inci monolitik dengan konektiviti Apple CarPlay dan Android Auto wayarles
- Sistem audio Yamaha
- Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Mitsubishi Motors Safety Sensing dengan kamera keliling
- Penulen udara NanoeX
- Kotak konsol dengan fungsi penyejukan
Ini bukan lagi SUV asas, tetapu SUV famili dengan sentuhan premium yang ketara.
Enjin, Prestasi: 1.5L Turbo Berkuasa 160hp dengan Lima Mod Pandu

Di bawah bonet, Mitsubishi Destinator dijana enjin 4B40 1.5L turbo dengan output kuasa 160hp, dan tork 250Nm, serta kuasa disalurkan melalui transmisi automatik CVT, manakala pemandu boleh memilih lima mod pemanduan: Normal, Wet, Gravel, Mud danTarmac (mod baharu)
Ini ialah SUV bandar yang bersedia untuk meredah pelbagai kondisi jalan.
Ciri Berteknologi: Pertama dengan Mitsubishi Connect
Mitsubishi Destinator debut bersama aplikasi Mitsubishi Connect, iaitu sistem kereta berhubung (Connected Car Services) pertama Mitsubishi di Filipina dengan fungsi:
- Notifikasi keselamatan
- Penjejakan kenderaan
- Pemantauan status kereta
- Akses aplikasi pintar
Mitsubishi akhirnya menyertai era kereta terhubung dengan penuh keyakinan.
Varian, Harga: 3 Pilihan, Harga Promosi Mula 1.289 Juta Peso

Harga rasmi:
- GLX Turbo CVT - 1.389 juta peso (RM97,660)
- GLS Turbo CVT - 1.599 juta peso (RM112,445)
- GT Turbo CVT - 1.929 juta peso (RM135,650)
Harga promosi pengenalan:
- GLX Turbo CVT - 1.289 juta peso (RM90,645)
- GLS Turbo CVT - 1.499 juta peso (RM105,410)
- GT Turbo CVT - 1.799 juta peso (RM126,510)
Tempahan sebelum 31 Januari 2026 turut menerima aksesori eksklusif Mitsubishi Destinator Adventure Gear.
Selain itu, pembeli yang membuat tempahan ketika acara pelancaran (20-23 November di Ayala Malls Manila Bay) dan mendaftarkan kenderaan sebelum tarikh sama akan menikmati tambahan diskaun 5,000 peso (RM350). Semua varian hadir dengan waranti standard 3 tahun dan lanjutan 2 tahun.
Adakah Masuk Malaysia?
Mitsubishi Destinator 2026 muncul tepat pada masa di pasaran Asia Tenggara yang ketika ini banyak pengeluar saling bersakini berebut SUV 7-kerusi yang bergaya, fleksibel dan mampu milik.
Dengan teknologi besar, kabin premium, enjin turbo bertenaga, dan harga permulaan promosi kompetitif, Destinator berpotensi menjadi 'model hero' baharu untuk Mitsubishi di rantau ini.
Jika Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) berminat membawa masuk model tersebut, pasti menjadi pesaing rapat kepada Honda BR-V, Perodua Alza, Toyota Veloz dan Chery Tiggo 7 Pro.
SUMBER: Carmudi.com.ph










Leave a Reply