
WALAUPUN Honda mempunyai peminat dan pelanggan besar, pengeluar itu sebenarnya kekurangan model di pasaran tempatan berbanding pesaing lain dari Jepun.
Model dimaksudkan ialah kenderaan utiliti sukan (SUV) tiga baris tempat duduk saiz sederhana, sama segmen seperti seperti Proton X90, Toyota Fortuner, Nissan X-Trail dan Mazda CX-8. Di Malaysia, pengguna masih tiada model lanjutan selepas HR-V dan CR-V.
Berbeza pasaran Amerika Syarikat (AS), Honda menawarkan Pilot dengan tiga baris tempat duduk dalam gaya lasak. Terbaru, Pilot 2026 tampil membawa perubahan pada gaya luaran, teknologi kabin dan prestasi pemanduan.
Model SUV tiga baris tempat duduk itu dipasang di Alabama dan ditawarkan dalam enam varian: Sport, EX-L, Touring, TrailSport, Elite, dan Black Edition, serta bakal tiba di pusat pengedar seluruh AS pada Disember ini.

Dari segi rekabentuk, Honda Pilot 2026 tampak berbeza daripada versi sebelum ini ala CR-V, tetapi membawa gaya WR-V/Elevate (Jepun/India) dengan frem gril berkotak.
Pembaharuan Utama, Ciri Standard

Model 2026 membawakan peningkatan ketara berbanding model terdahulu untuk semua varian:
- Teknologi dan Konektiviti: Unit infotainme skrin sentuh definisi tinggi (HD) 12.3 inci (37 peratus lebih besar), kluster instrumen digital 10.2 inci (43 peratus lebih besar), Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, Wi-Fi 5G, dan integrasi Google built-in
- Keselesaan: Kabin lebih senyap dengan pengurangan bunyi 2-3dB melalui penggunaan kaca pintu separa baja (semi-tempered) dan penebat tambahan. Pintu but elektrik dan rel bumbung kini standard untuk semua varian
- Mekanikal: Fiil stereng (EPS) ditala semula untuk lebih ketepatan dan sistem Brek Pra-Perlanggaran (PCB) diperkenal
- Warna Baharu: Solar Silver Metallic (perak) dan Smoke Blue Pearl (biru)
Perincian Mengikut Varian
Setiap varian menerima penambahan spesifikasi khas:
- TrailSport (foto atas): Kerusi belakang dengan pemanas, pilihan kulit coklat sulaman jingga, warna baharu Ash Green Metallic, logo belakang kemasan jingga dan plat sil pintu (scuff plate) rekaan khas.
- Touring: Kamera 360º, upholsteri premium, pilihan kulit coklat dan rim aloi 20 inci Shark Gray rekaan baharu.
- Elite: Rim 20 inci Shark Gray dan aksen kerusi Ultra-Suede sulaman berlian.
- Black Edition: Rim aloi 20 inci Berlina Black.
Rekabentuk Gril: Hitam (Sport/EX-L), Kelabu (TrailSport), Hitam Kilat (Touring/Elite/Black Edition).
Prestasi, Trenkuasa
Di sebalik tiga baris tempat duduk, Pilot dikuasakan enjin besar yang tidak begitu digemari pengguna di Malaysia.
- Enjin 3.5L V6 DOHC berkuasa 285hp @ 6,100 rpm, dan tork 355Nm @ 5,000rpm
- Transmisi automatik 10-kelajuan.
- Pacuan semua roda (AWD) i-VTM4 dengan pemvektoran tork (standard pada TrailSport, Touring, Elite, dan Black Edition). Mampu mengagihkan 70 peratus tork ke gandar belakang dan 100 peratus ke kiri atau kanan
- Mod pemanduan Normal, Econ, Snow, Sport, dan Tow (Standard). Tambahan mod Sand dan Trail untuk model AWD. Kawalan Turun Bukit (HDC) kini standard
Keupayaan Off-Road (TrailSport)
Varian TrailSport direka khas untuk kegunaan lasak dengan ciri tambahan:
- Plat gelincir keluli (steel skid plates) untuk perlindungan bawah badan
- Suspensi ditinggikan untuk jarak tinggi bumi lebih baik
- Tayar semua permukaan (all-terrain) untuk cengkaman atas lumpur, pasir, dan salji
Ciri Honda SENSING
Semua varian dilengkapi standard dengan struktur badan ACE, beg udara canggih dengan perlindungan kepala dan keselamatan dipertingkat serta pakej Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Honda SENSING yang terdiri daripada:
- Sistem Brek Mitigasi Perlanggaran (CMBS) dengan Pengesan Pejalan Kaki
- Amaran Perlanggaran Depan (FCW) dan Mitigasi Keluar Jalan (RDM)
- Bantuan Kekal Lorong (LKAS) dan Amaran Keluar Lorong (LDW)
- Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)



































Leave a Reply