TOYOTA memperkenalkan satu lagi ahli famili baharu bagi model hibrid popular keluaran pengeluar automotif dari Jepun itu, Prius. Model diberikan nama Prius C itu ditampilkan dalam versi rugged atau lasak dan dibikin khas buat mereka yang lebih gemarkan penampilan crossover berbanding hatchback.
Prius atau Aqua (nama di Jepun), memuatkan aksen perak pada bahagian bawah bampar depan dan belakang, serta gerbang roda untuk menukarkan penampilan Prius C lebih seakan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV). Selain pengemaskinian kosmetik, Prius C ialah model sama seperti Prius terdahulu, yakni menggunakan trenkuasa hibrid 4-silinder 1.5L berkuasa 99hp dengan paduan transmisi variabel berterusan (CVT) dan dibina atas sistem pacuan roda depan (FWD).
Menurut Car and Driver, model baharu itu dijual pada harga sama seperti spesifikasi asas dan ada beberapa kemasan dihilangkan, tetapi masih mencatatkan tahap ekonomi bahan api yang sama.
TREND GLOBAL
Prius C bukan hatchback pertama Jepun yang diranggikan dengan rupa crossover. Infiniti Q30, misalnya, ditawarkan dalam versi rugged dengan profil sedikit tinggi yang sama seperti QX30, tetapi dipasarkan sebagai QX30 untuk pasaran Amerika. Subaru Crosstrek pula apabila diperhatikan ialah versi Impreza yang ditinggikan.
Memang tidak dinafikan crossover kini sedang menjadi trend global, di mana di Amerika Syarikat sendiri, permintaan untuk model crossover mencanak naik, sebaliknya hatchback mengecut. Trend sama turut berlaku di Malaysia menerusi penjualan Honda HR-V yang mencatatkan jualan cukup memberangsangkan.
Leave a Reply