
GGR Legacy (M) Sdn Bhd, atau lebih dikenali sebagai GGR Motor, hari ini memperkenalkan dua model prototaip motosikal elektrik (EV) terbaharu dikenali sebagai Pantera R1 dan Pantera R2.
Kedua-dua model ini direka dan dipasang sepenuhnya di Malaysia, menjadikannya motosikal elektrik jarak jauh pertama buatan tempatan dengan kemampuan perjalanan sehingga 300 kilometer bagi satu cas penuh.
Simbol Keupayaan Anak Tempatan
Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi, pembangunan Pantera R1 dan R2 menjadi simbol keupayaan anak tempatan menghasilkan kenderaan elektrik berprestasi tinggi setanding produk antarabangsa.
“Tujuan utama pelancaran Pantera R1 dan R2 adalah untuk melahirkan motosikal elektrik pertama buatan Malaysia yang boleh mencapai jarak 300 kilometer bagi satu cas penuh. Ini akan menjadi penanda aras baharu industri EV tempatan,” katanya ketika ditemui pada program MARA Automotive Ecosystem (MATEC 2025) di Bukit Jalil.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang, dan turut dihadiri Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bersama wakil rakan strategik dan selebriti tempatan seperti Johan dan Ajak Shiro.
Kuasa, Jarak dan Pengecasan Pantas
Pantera R1 dan R2 dilengkapi dua unit bateri 73.8V / 116Ah, membolehkan jarak perjalanan maksimum 300km. Model ini turut menyokong sistem pengecasan pantas (fast charging) yang mampu mengecas satu bateri penuh dalam tempoh 30 minit sahaja.
Kuasa pacuan datang daripada motorhub 5,000kW dipadankan dengan Votol Controller, komponen antarabangsa terkenal dengan kecekapan tenaga tinggi. Ia mampu mencapai kelajuan maksimum antara 110 hingga 150 km/j, dengan kos penyelenggaraan hampir sifar kerana tidak memerlukan minyak atau servis enjin seperti motosikal petrol biasa.
“Kami mahu buktikan bahawa kenderaan elektrik bukan hanya mesra alam, tetapi juga mampu menjimatkan kos jangka panjang untuk rakyat,” jelas Musaddiq.
Fokus kepada Rider e-Hailing, Usahawan Mikro
GGR Motor memberi tumpuan kepada rider e-hailing dan usahawan mikro sebagai kumpulan sasaran utama. Dengan penggunaan motosikal elektrik, golongan ini dijangka boleh menjimatkan sehingga 60 peratus daripada kos operasi harian, terutama dari segi bahan api dan penyelenggaraan.
Selain itu, GGR turut memperkenalkan skim pembiayaan mudah dengan deposit rendah dan bayaran bulanan fleksibel bagi memudahkan pemilikan motosikal EV ini.
Pelaksanaan Dua Fasa: Infrastruktur Dahulu, Jualan Kemudian
GGR Motor menegaskan bahawa jualan Pantera R1 dan R2 hanya akan bermula selepas infrastruktur EV siap sepenuhnya.
Pelancaran akan dilaksanakan dalam dua fasa utama:
- Fasa Pertama (Oktober–Disember 2025): Pembinaan rangkaian stesen swap dan charging point di seluruh negara.
- Fasa Kedua (bermula Januari 2026): Pembukaan pra-tempahan (pre-order) kepada komuniti e-hailing dan pengguna umum.
Kami tidak mahu menjual sebelum sistemnya bersedia. Fokus utama kami ialah memastikan rangkaian pengecasan dan stesen swap tersedia di seluruh Malaysia," katanya.
Kolaborasi Strategik, Ekosistem Swap Station
Bagi mempercepatkan pembangunan infrastruktur, GGR Motor kini menggalakkan kerjasama strategik dengan syarikat korporat dan swasta seperti 99 Speedmart, ZUS Coffee, dan rangkaian stesen minyak utama untuk membina stesen swap di lokasi tumpuan.
Menariknya, GGR memperkenalkan konsep 'Subscription Swap Station', iaitu model langganan untuk pengusaha tempatan yang mahu membuka stesen pertukaran bateri di bawah jenama GGR.
Melalui model ini, pengguna dikenakan caj kecil setiap kali menukar bateri, manakala pengendali premis menerima komisen tetap daripada setiap transaksi.
Lagi banyak syarikat terlibat, lagi banyak stesen swap dapat dibuka. Ini bukan projek satu syarikat, ini usaha membina ekosistem EV negara," katanya.
Kejayaan Lion G1, Halatuju Masa Depan

GGR Motor sebelum ini mencatat kejayaan besar menerusi model Lion G1 yang terjual lebih 8,000 unit, membuktikan potensi besar pasaran motosikal elektrik di Malaysia.
Pantera R1 dan R2 akan menjadi kesinambungan kejayaan tersebut dengan penekanan terhadap teknologi baharu, jarak lebih jauh dan sistem pengecasan fleksibel.
Untuk sokongan selepas jualan, alat ganti boleh diperoleh di Supermarket GGR Motor di Sungai Penchala, manakala PMH Motor di Alor Setar dilantik sebagai Master Dealer bagi wilayah Utara.
Selain itu, GGR turut bekerjasama dengan selebriti tempatan termasuk Farid Kamil, Johan dan Ajak Shiro melalui rangkaian GGR X Partners, yang akan memperluas capaian pasaran dan meningkatkan kesedaran jenama.
Tembus Pasaran Asia

Dalam jangka panjang, GGR Motor menyasarkan pasaran Asia Tenggara sebagai destinasi eksport utama selepas ekosistem domestik stabil.
Syarikat juga akan memperluas kerjasama dengan agensi kerajaan dan swasta bagi memastikan setiap kawasan berpotensi tinggi di Malaysia mempunyai kemudahan swap dan caj EV yang mencukupi.
Kami mahu pastikan pelancaran seterusnya bukan sekadar model baharu, tetapi pelancaran menyeluruh bersama infrastruktur lengkap," kata Musaddiq.
Pelancaran Pantera R1 dan R2 bukan sekadar memperkenalkan motosikal elektrik baharu, tetapi menandakan permulaan era baharu mobiliti hijau buatan Malaysia. Dengan prestasi tinggi, jarak jauh, dan rancangan ekosistem menyeluruh, GGR Motor berada di landasan tepat menuju status peneraju industri EV tempatan dan serantau.






Leave a Reply