
STATISTIK Op Lancar Deepavali 2025 menunjukkan perkembangan positif yang menyaksikan penurunan jumlah kemalangan maut dan saman trafik, menandakan tahap kesedaran pengguna jalan raya semakin meningkat.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, jumlah kemalangan maut sepanjang operasi 17 hingga 21 Oktober mencatatkan penurunan 9.8 peratus, dengan 82 kes tahun ini berbanding 90 kes (2024).
Jumlah kematian turut menurun 12 peratus, iaitu 85 mangsa berbanding 96 orang tahun lalu.
Motosikal Kekal Penyumbang Tertinggi
Walaupun jumlah berkurangan, penunggang dan pembonceng motosikal masih menjadi penyumbang utama kematian di jalan raya, dengan 61 mangsa (72 peratus) daripada keseluruhan kes. Bagaimanapun angka itu menunjukkan penurunan 20 peratus berbanding 76 kematian (2024).
Daripada 8,940 kes kemalangan yang direkodkan sepanjang operasi, jalan bandaran mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 3,952 kes (44 peratus). Ini disusuli Jalan Negeri (18.4 peratus) dan Jalan Persekutuan (13.3 peratus).
Saman Trafik Turun Lebih 8,000
Polis turut merekodkan penurunan saman tradik (43,379 saman) tahun ini, berbanding 52,090 saman pada 2024, menurun 8,711 saman.
Mohd Yusri berkata lagi, angka itu mencerminkan peningkatan disiplin pengguna jalan raya terhadap peraturan lalu lintas dan undang-undang jalan raya.
Hampir 10 Juta Kenderaan di Lebuh Raya
Sepanjang tempoh operasi, 9.9 juta kenderaan direkodkan menggunakan rangkaian lebuh raya utama negara seperti:
- Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS)
- Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2)
- Lebuhraya Karak (1.2 juta kenderaan)
- Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) (618,173 kenderaan)
Operasi Berjaya, Rakyat Sejahtera
Penurunan kadar kemalangan maut dan saman trafik sepanjang Op Lancar Deepavali membuktikan keberkesanan usaha penguatkuasaan dan kempen keselamatan jalan raya dijalankan pihak berkuasa.
Namun, penunggang motosikal masih kekal sebagai kumpulan paling berisiko, dan pengguna diingatkan terus mengamalkan pemanduan berhemah supaya momentum positif ini dapat dikekalkan pada musim perayaan akan datang.




Leave a Reply