ZHEJIANG Geely Holding Group (Geely Holding) mengumumkan prestasi jualan memberangsangkan sepanjang sembilan bulan pertama 2025.
Jumlah jualan agregat merentasi portfolio jenama automotif membabitkan Geely Auto, Lynk & Co, Zeekr, Volvo Cars, Polestar, Proton, Lotus, smart, Radar, LEVC dan Farizon mencecah 2,953,452 unit, meningkat 29 peratus berbanding tahun sebelumnya (YoY).
Pada suku ketiga (Q3) 2025, Geely Holding mencatatkan jualan agregat 1,020,913 unit kenderaan, peningkatan YoY 28 peratus.
Pencapaian itu menjadi sejarah baharu buat Geely Holding yang kali pertama merekodkan jualan suku tahunan melebihi sejuta unit.
Dominasi Kenderaan Elektrifikasi
Kenderaan elektrifikasi seperti elektrik (EV), hibrid (HEV), dan hibris plug-in (PHEV) menjadi pemacu utama pertumbuhan tersebut.
- Jualan kumulatif (sembilan bulan pertama): Kenderaan elektrifikasi menyumbang 1,590,866 unit, meningkat 68 peratus YoY, dan mewakili 54 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan Kumpulan.
- Jualan suku tahunan (Q3): Jualan kenderaan elektrifikasi mencecah 588,110 unit, peningkatan YoY 59 peratus, dan merangkumi 58 peratus daripada jualan suku tahunan Kumpulan.
Butiran Jualan Mengikut Jenama
Geely Auto yang memiliki pegangan saham dalam Zeekr Group, termasuk jenama Zeekr dan Lynk & Co melaporkan jualan dalam sembilan bulan pertama 2025 mencapai 2,170,189 unit, peningkatan kira-kira 46 peratus YoY.
- Jualan kenderaan elektrifikasi Geely Auto mencapai 1,167,823 unit, meningkat 114 peratus YoY, dan menyumbang 53.8 peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat.
- Jenama premium Lynk & Co, menjual 241,472 unit, meningkat YoY 23 peratus.
- Jenama teknologi mobiliti elektrik premium mewah, Zeekr, menjual 143,600 unit, meningkat YoY 1 peratus.
Pertumbuhan itu didorong pelancaran produk baharu bernilai tinggi seperti Lynk & Co 900, Geely Galaxy M9, dan Zeekr 9X yang turut membantu meningkatkan margin.
Walaupun kenderaan elektrifikasi menerajui pertumbuhan, jualan model bahan api tradisional Geely Auto juga kekal stabil, manakala siri produk enjin pembakaran dalaman (ICE) arus perdana mencatatkan pertumbuhan 5 peratus berbanding trend pasaran.
Perkembangan korporat menyaksikan Geely Automobile Holdings dan Zeekr Intelligent Technology secara rasmi menandatangani perjanjian penggabungan pada 15 Julai lalu.
Penggabungan dirancang itu adalah selaras strategi One Geely dan usaha integrasi berterusan perniagaan automotif Kumpulan.
Jenama Lain dalam Kumpulan
- Volvo Cars menjual 514,294 unit kenderaan secara global dalam sembilan bulan pertama 2025, dengan 227,317 unit ialah kenderaan elektrifikasi yang menyumbang 44 peratus daripada jumlah jualan.
- Polestar menjual 44,482 unit kenderaan elektrik penuh (EV)s dalam tempoh sama, peningkatan YoY 36.5 peratus.
Segmen Kenderaan Komersial
Dalam segmen kenderaan komersial, peneraju pasaran van dan trak komersial tenaga baharu elektrifikasi Farizon menyaksikan jualan sepanjang sembilan bulan pertama 2025 mencapai 107,257 unit, meningkat YoY 49.5 peratus.
Pada September 2025, syarikat mencapai kejayaan dalam pengkomersialan teknologi mobiliti elektrik hibrid metanol dengan pelancaran kapal hibrid metanol yang pertama dunia.
Pengembangan syarikat dalam mobiliti maritim membuka kemungkinan baharu untuk aplikasi teknologi trenkuasa EV dan metanol berasaskan darat ke atas air.
Leave a Reply