NISSAN Qashqai yang dijana trenkuasa e-POWER mendapat rating penggunaan bahan api luar biasa dalam ujian Ecotest rasmi dilakuan persatuan pengguna automotif bebas di Jerman, ADAC.
Nissan Qashqai e-POWER baharu mencatatkan angka penggunaan bahan api 5.4 liter per 100km.
Ujian Gabung Kaedah Makmal, Ujian Dinamik
Angka itu mewakili pengurangan hampir 15 peratus berbanding versi terdahulu, sekali gus meletakkan Nissan Qashqai e-POWER sebagai peneraju kecekapan bahan api dalam segmen.
Ujian ADAC Ecotest menggabungkan kaedah makmal dan ujian dinamik untuk mendapatkan angka penggunaan bahan api yang mewakili situasi pemanduan sebenar.
Sistem e-POWER yang dikemas kini menampilkan enjin pembakaran dalaman (ICE) yang dibangunkan semula dengan pelbagai naik taraf menyeluruh.
Pasukan kejuruteraan trenkuasa menumpukan kepada usaha mengoptimum penggunaan bahan api, terutama pada halaju lebuh raya Eropah hingga 130kmj.
Peningkatan Kecekapan, Jejak Alam Sekitar
Usaha kejuruteraan itu menghasilkan kecekapan ketara, seperti:
- Pengurangan emisi: Selain penjimatan bahan api, sistem e-POWER baharu Qashqai menyaksikan penurunan emisi karbon dioksida (CO2) daripada 116g/km kepada 102 g/km mengikut piawaian ujian WLTP.
- Ini peningkatan 12 peratus yang menyumbang kepada rating keseluruhan Qashqai e-POWER sebanyak empat daripada lima bintang dalam ADAC Ecotest.
- Jarak perjalanan jauh: Penggunaan bahan api rendah itu, digabungkan dengan kapasiti tangki bahan api 55 liter dengan jarak perjalanan secara teori sejauh 1,018km.
- Peningkatan 145km setiap tangki itu menawarkan jarak yang biasa ditemui pada kenderaan diesel dengan angka standard WLTP ialah 1222km.
Peningkatan Mutu Pemanduan, Kos Pemilikan
ADAC turut melaporkan sistem e-POWER yang disemak semula menghasilkan sistem pemanduan lebih senyap secara keseluruhan. Paras bunyi yang diukur pada kelajuan 130kmj didapati menurun.
Menurut pengukuran Nissan, pengurangan hingar (bunyi) adalah 5.6db, yang meletakkan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu pada tahap setanding kenderaan elektrik (EV).
Selain itu, pengguna e-POWER baharu juga boleh menjangka jumlah kos pemilikan lebih rendah hasil lanjutan selang servis kenderaan daripada 15,000km kepada 20,000km.
Pengalaman Pemanduan Ala EV
Tidak seperti hibrid tradisional, sistem e-POWER dimiliki Qashqai menggunakan enjin petrol semata-mata untuk menjana elektrik. Tenaga elektrik yang dihasilkan itu kemudian bekerja menggerakkan motor elektrik yang memacu roda.
Ini bermakna roda hanya digerakkan kuasa elektrik, sekali gus memberikan tork serta-merta, pecutan lancar dan pemanduan lebih senyap tanpa perlu mengecas bateri.
Trenkuasa 5-dalam-1 e-POWER versi dikemas kini menyepadukan komponen utama seperti motor elektrik, generator, inverter, penguat (increaser) dan pengurang (reducer) ke dalam enjin turbo 1.5L yang direka semula sepenuhnya.
Ia juga menggunakan konsep pembakaran STARC milik eksklusif Nissan bagi meningkatkan kecekapan haba kepada 42 peratus dengan menstabilkan pembakaran dalam silinder. Ini membolehkan enjin beroperasi lebih senyap dan berkesan pada halaju lebih rendah.
Ciri Teknologi Tambahan
Selain kemas kini menyeluruh sistem e-POWER, Nissan Qashqai juga mendapat manfaat ciri sambungan dipertingkat sebagai sebahagian teknologi infotainmen terbina dalam Google Built-In.
Ciri baharu seperti arahan suara melalui Google Assistant, akses kepada aplikasi tambahan menerusi Google Play, ramalan cuaca di destinasi, dan Nissan Trip Stories membolehkan pelanggan merekod dan berkongsi perjalanan kegemaran melalui aplikasi NissanConnect Services.
Penambahbaikan teknologi tambahan seperti peningkatan dalam kecerdasan pemanduan dengan ciri bantuan pemandu ProPILOT turut dipertingkat.
Ini termasuk antaramuka pemanduan autonomi multi-lorong yang lebih baik untuk pemantauan trafik dan kesedaran lebih bagus terhadap persekitaran sekeliling.
Pengeluaran Nissan Qashqai terkini yang dilengkapi e-POWER sudah bermula Julai tahun ini di kilang canggih Nissan di Sunderland, Britain.
Leave a Reply