PENGANJUR sukan permotoran berprestij, Dorna Sports mengesahkan acara pelancaran rasmi musim baharu MotoGP akan berlangsung di Malaysia pada Februari 2026, selepas lokasi asal di Singapura ditukar atas faktor logistik.
Awalnya, pasukan sudah dimaklumkan Singapura dipilih sebagai lokasi pelancaran susulan kejayaan format baharu yang diperkenalkan tahun ini di Bangkok. Malah, beberapa pasukan sudah mula menyusun perjalanan dari lokasi ujian pra-musim pertama di Sepang ke Singapura yang mengambil masa sekitar empat jam melalui jalan darat.
Dari Singapura ke Kuala Lumpur
Namun, masalah logistik dan operasi memaksa Dorna mengambil langkah lebih praktikal dengan memindahkan acara ke Kuala Lumpur, yang hanya kurang sejam dari Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC).
Walaupun lokasi berubah, tarikh asal acara tidak berganjak. Ini memberi ruang yang cukup untuk pasukan berehat sehari selepas ujian sebelum menghadiri pelancaran rasmi.
- 29 - 31 Januari 2026: Ujian shakedown (pelumba ujian dan rookie)
- 3 - 5 Februari 2026: Ujian rasmi pra-musim
- 6 - 7 Februari 2026: Gala pelancaran musim MotoGP di Kuala Lumpur
Sokongan IRTA, Tradisi di Kuala Lumpur
Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa (IRTA) turut mengesahkan perubahan itu dengan menyatakan langkah tersebut akan memudahkan urusan semua pihak.
Tambahan pula, Kuala Lumpur sudah lama menjadi pilihan utama pasukan dan penaja untuk menganjurkan acara mengenai MotoGP. Contohnya, Yamaha pernah melancarkan projek baharu MotoGP di sebuah hotel mewah berlatar belakang Menara Berkembar Petronas (KLCC).
Musim 2026 Makin Padat
Selepas acara pelancaran di KL, pasukan akan terus beralih ke Buriram, Thailand pada 21 - 22 Februari 2026 untuk ujian seterusnya. Hanya seminggu kemudian, tirai musim baharu MotoGP bakal dibuka di litar sama pada 1 Mac 2026.
Jadual padat itu dijangka menyukarkan pasukan melakukan sebarang modifikasi besar pada jentera sebelum perlumbaan pembukaan.
SUMBER: Motorsport.com
Leave a Reply