JENAMA automotif mewah British yang terkenal dengan rekabentuk prestasi tinggi, Aston Martin kini melangkah ke pasaran produk keluarga, iaitu stroler bayi premium Aston Martin egg3® pada harga bermula £2,500 (RM14,260).
Kerjasama eksklusif dengan jenama kereta sorong bayi premium, egg® menghasilkan Aston Martin egg3®, iaitu stroler bayi yang menggabungkan kemewahan, hasil kerja tangan dan kejuruteraan cemerlang sebagai ciri khas dua jenama itu.
Stroler bayi itu bukan sekadar aksesori, tetapi manifestasi rekabentuk dan kualiti Aston Martin yang mana direka untuk memberikan pengalaman lancar dan responsif, sama seperti sebuah kenderaan mewah.
Setiap perincian, daripada sistem suspensi hingga gaya, direka teliti untuk meningkatkan pengalaman pengguna.
Rekabentuk, Butiran Terperinci
Aston Martin egg3® menampilkan rekabentuk elemen ikonik kenderaan Aston Martin. Corak jahitan kuilting pada tempat duduk diilhamkan daripada ruang kabin Aston Martin DBX707. Selain itu, corak itu turut diterjemah dalam kemasan pejal untuk memberikan tekstur sentuhan unik.
Butiran rekaan automotif lain juga jelas kelihatan. Roda stroler diilhamkan daripada corak sarang lebah yang terdapat pada model Valour dan Victor, manakala elemen grafik pada hab roda merujuk kepada tombol kawalan dalam kokpit Aston Martin.
Kualiti Bahan, Pilihan Warna
Setiap komponen stroler dibuat teliti dengan kulit asli diambil daripada sumber sama digunakan untuk ruang dalaman kenderaan Aston Martin.
Logo silikon timbul dan aksen silikon warna hijau limau (lime) pada beberapa versi menyerlahkan lagi warisan sukan permotoran Aston Martin.
Ada tiga warna pilihan model pelancaran itu:
- Edisi hijau ikonik: Menampilkan aksen Racing Lime untuk penampilan berani dan sporty.
- Dua variasi kelabu: Dibuat daripada fabrik corak tulang ikan (herringbone) yang diilhamkan daripada rekaan vintaj Aston Martin. Varian kelabu lebih terang dilengkapi perincian kulit Bitter Chocolate (cokelat) dan kemasan Magneto Bronze (tembaga), mirip tona mewah dalam kenderaan Aston Martin paling terkenal.
Tempahan Awal
Aston Martin egg3® dijadualkan tiba di pasaran suku keempat 2025. Tempahan awal akan dibuka September ini melalui peruncit terpilih seluruh dunia atau menerusi laman web rasmi eggstroller.com.
Harga belum didedahkan dan rujukan laman web untuk model stroler egg3® sedia ada berharga £879 (RM5,020). Namun untuk versi Aston Martin, harga stroler egg3® itu didakwa bermula £2,500 (RM14,260).
Leave a Reply