JUALAN kenderaan di Malaysia melonjak 28 peratus kepada 70,057 unit pada Julai 2025, berbanding 54,863 unit (Jun 2025), menurut data Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
MAA dalam kenyataan berkata, peningkatan jumlah keseluruhan industri (TIV) itu dipacu bulan kerja penuh dengan 23 hari bekerja, berbanding 19 hari pada Jun. Selain itu, asas pengeluaran rendah pada Jun akibat penutupan operasi sempena Hari Raya Aidiladha turut menjadi faktor penyumbang.
Perbandingan Tahunan
Bagaimanapun, jumlah TIV Januari hingga Julai 2025 masih 5 peratus lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lalu.
Dari segi perbandingan tahunan, TIV Julai 2025 juga susut 5 peratus, terdiri daripada 64,438 unit kenderaan penumpang dan 5,619 unit kenderaan perdagangan, berbanding 73,501 unit (Julai 2024),.
Prestasi Pengeluaran
Dalam aspek pengeluaran, 71,439 unit kenderaan dikeluarkan pada Julai 2025, meningkat 1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, terdiri daripada 67,075 unit kenderaan penumpang dan 4,364 unit kenderaan perdagangan.
Prospek Industri
Mengenai prospek, MAA optimis momentum jualan positif pada Julai akan berterusan ke Ogos 2025. Faktor sokongan adalah stok kenderaan lebih tinggi hasil pengeluaran besar-besaran pada Julai lalu, promosi agresif sempena bulan Merdeka, dan pelancaran model baharu di pasaran.
Leave a Reply