PROTON Holdings Bhd mengumumkan kilang pembuatan kenderaan elektrik (EV) di Tanjung Malim, Perak kini hampir siap dan dijangka memulakan proses pengeluaran pada September 2025.
Menurut Proton, kemajuan keseluruhan projek kini berada pada 86.9 peratus, melibatkan:
- 90.4 peratus siap bagi pembinaan infrastruktur bangunan
- 83.5 peratus pemasangan peralatan pengeluaran
Apabila siap sepenuhnya, kilang baharu itu akan menjadi pusat pengeluaran pelbagai model EV berasaskan platform Arkitektur Modular Global (GMA).
Proton e.MAS 7 Jadi Model Pertama
Pengeluaran akan bermula dengan model EV pertama Proton e.MAS 7, sebelum disusuli Proton e.MAS 5 yang kini giat ditayangkan dalam siri jelajah seluruh negara.
Kedua-dua model itu dijangka menjadi penanda aras penting dalam usaha Proton memperkenalkan mobiliti elektrik kepada rakyat Malaysia.
Kapasiti Pengeluaran hingga 45,000 Unit
Pada peringkat awal, kilang berkenaan mampu menghasilkan 20,000 unit setahun. Namun kapasiti boleh dipertingkat berperingkat hingga 45,000 unit setahun, bergantung permintaan pasaran tempatan dan luar negara.
Bagi menyokong operasi kilang, Proton kini menumpukan kepada pengambilan pekerja operasi dan teknikal.
- Sehingga kini, 30 pekerja bukan eksekutif diambil dan sedang menjalani latihan penuh
- Kilang itu dijangka menjana lebih 200 peluang pekerjaan baharu, terutama dalam bidang teknikal dan industri EV
Sokongan Penuh Geely
Sebagai rakan kongsi strategik, Zhejiang Geely Holding Group (Geely) menyokong pembangunan kilang berkenaan menerusi:
- Panduan teknikal sistem pengeluaran
- Pemilihan peralatan berteknologi tinggi
- Penempatan pakar pemasangan dan ujian
- Latihan luar negara untuk kakitangan Proton
Semua itu bagi memastikan Proton menepati piawaian global pembuatan EV.
Komitmen Proton ke Arah Masa Depan Mampan
Ketua Kejuruteraan Pembuatan Proton, Wan Yousry Mohamed menyifatkan kilang baharu itu sebagai simbol transformasi Proton.
Ini langkah bersejarah untuk syarikat dan negara. Kami bukan saja menghasilkan EV pertama Malaysia, tetapi meletakkan asas kepimpinan negara dalam landskap EV serantau," katanya.
Proton Letak Malaysia di Peta EV Serantau
Pembukaan kilang EV Proton di Tanjung Malim bukan saja membuka lembaran baharu industri automotif negara, tetapi turut menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab serantau EV.
Pengeluaran Proton e.MAS 7 yang bakal bermula September ini akan menjadi detik bersejarah buat rakyat Malaysia apabila EV buatan tempatan pertama meluncur di jalan raya.
SUMBER: SinatHarian
Leave a Reply