JAECOO UK mengesahkan harga dan spesifikasi penuh model kenderaan elektrik (EV) pertama jenama itu JAECOO E5 2025 untuk pasaran Britain.
Pada harga bermula £27,505 (RM157,410), JAECOO E5 muncul sebagai alternatif elektrik kepada JAECOO 5 versi enjin pembakaran dalaman (ICE), yang direka untuk pengendalian mudah di bandar dan mantap di jalan raya terbuka.
Kenderaan utiliti sukan (SUV) EVitu, yang juga dikenali sebagai JAECOO J5 EV sudah pun ditayangkan di beberapa pasaran Asia Tenggara.
Chery Group pernah membawa model itu ke Pameran Motor Antarabangsa Bangkok (BIMS) 2025 pada Mac tahun ini yang sebelum itu melakukan debut global di Indonesia.
Prestasi, Pengecasan
JAECOO E5 EV dilengkapi bateri litium-besi-fosfat (LFP) 61.1kWj yang dipadankan motor elektrik berkuasa 207ps dan tork 288Nm.
Gabungan itu memberikan jarak pemanduan sejauh ~399km (248 batu) sekali cas menujurt ujian WLTP. Pecutan 0-100kmj pula sepantas 7.7 saat, dan JAECOO E5 bukan saja senyap, tetapi juga lancar dan sangat bertenaga.
Pengecasan SUV EV itu juga mudah:
- Pengecas pantas (DC) 80kW dari 30-80 peratus mengambil masa 27 minit
- Pengecas standard (AC) 11kW untuk pengecasan semalaman di rumah
Fleksibiliti, Ciri Dalaman
JAECOO E5 2025 mengutamakan fleksibiliti harian dengan keupayaan Vehicle-to-Load (V2L) untuk membekalkan kuasa elektrik kepada pelbagai peralatan, dan peranti elektronik seperti perkhemahan hingga komputer riba.
Ruang kabin menggabungkan teknologi dengan praktikaliti yang berorientasi digital dan dibina sekitar unit infotainmen skrin sentuh definisi tinggi (HD) 13.2 inci berserta arahan suara intuitif, 'Hi JAECOO'.
Ciri standard diberikan ialah:
- Kabin Digital-Pertama: Dibina dengan skrin sentuh potret definisi tinggi 13.2 inci.
- Arahan Suara: Integrasi pembantu suara intuitif JAECOO, 'Hi JAECOO'.
- Konektiviti Mudah Alih: Apple CarPlay dan Android Auto wayarles.
- Monitor Pandangan Keliling: Sistem kamera panoramik 540º.
- Kawalan Jauh: Kawalan jauh berasaskan aplikasi.
- Ruang Kabin:
- Lima kerusi dengan kapasiti but 480 liter yang boleh diperluas kepada 1,180 liter (tempat duduk belakang dilipat).
- Ada lebih 35 ruang simpanan dalaman.
- Mod Haiwan Peliharaan: Ciri khas yang memastikan kabin selamat untuk haiwan peliharaan.
- Kualiti Udara: Sistem penapisan udara untuk mengekalkan persekitaran bersih.
Varian, Teknologi Keselamatan
JAECOO E5 2025 ditawarkan dalam dua varian: Pure dan Luxury.
Spesifikasi Pure
- Sistem audio Sony dengan enam pembesar suara
- Kerusi depan boleh laras manual 6-tetapan
- Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2.
Spesifikasi Luxury
- Bumbung panoramik
- Pengecas telefon bimbit wayarles
- Kerusi depan boleh laras elektrik dengan fungsi pemanas dan ventilasi.
- Lampu ambien pelbagai warna.
- Sistem audio Sony dipertingkat dengan lapan pembesar suara.
Seperti JAECOO 5, JAECOO E5 turut mendapat manfaat casis yang ditala khas untuk jalan raya Britain dengan 19 ciri ADAS seperti pemanduan autonomi Tahap 2, Kawalan Jelajah Adaptif (ACC) dan sistem mitigasi perlanggaran (CMS).
Waranti, Harga
Setiap pembelian dipakejkan waranti kenderaan 7 tahun/160,000km, dan waranti bateri 8 tahun/160,000km. Tiada had perbatuan untuk tiga tahun pertama, manakala perkhidmatan bantuan tepi jalan RAC Home Start disertakan sebagai standard.
Di Britain JAECOO E5 2025 ditawarkan pada harga bermula £27,505 (RM157,410) untuk varian Pure dan £30,505 (RM174,590) untuk Luxury.
Penghantaran pertama di Britain dijadual bermula Oktober ini melalui rangkaian pengedar Omoda & JAECOO UK yang semakin berkembang.
JAECOO 5 ICE, Malaysia

JAECOO 5 juga bakal ditawarkan dalam pilihan trenkuasa petrol yang memberikan pelanggan pilihan model tradisional dan elektrik dalam barisan SUV kompak JAECOO.
Bagi pasaran Malaysia, JAECOO Malaysia sebelum ini mengumumkan J5 akan dilancarkan suku keempat tahun ini. Versi EV berkemungkinan besar akan dipasang secara tempatan (CKD) di Shah Alam, sama seperti model JAECOO lain yang membolehkan pengguna menikmati pengecualian cukai untuk beberapa tahun lagi.
Leave a Reply