KEJUARAAN Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2015 pusingan pertama yang berlangsung di Temerloh, Pahang menyaksikan juara dua kali daripada Petronas Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham muncul juara bagi CP130.
Tampil cemerlang di antara pelumba terpanntas pada sesi ujian masa, semalam, aksi Fazli pada sesi kelayakan SuperPole walau bagaimana sedikit perlahan apabila sekadar mencatat masa keempat terpantas dengan trio berpengalaman Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing menguasai ketiga-tiga petak di barisan depan diketuai Mohd Zamri Baba, Norizman Ismail dan Elly Idzlianizar Ilias.
Meskipun begitu, dengan pengalaman yang ada, pelumba paling senior di grid CP130 itu berjaya menempatkan diri di kedudukan kedua sebaik pelumba dilepaskan, berada di belakang Norizman dan Zamri mengekori di kedudukan ketiga.
Saingan sengit d iantara tiga pelumba senior ini berterusan sehingga ke pusingan kelapan sebelum Zamri memintas untuk merampas kedudukan pertama daripada Norizman namun tindakan itu membuka ruang buat Fazli untuk memintas kedua-dua pelumba itu seterusnya memimpin perlumbaan sehingga ke garisan penamat.
Fazli menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa 13:30.577s, 0.754 dihadapan Zamri dan Norizman ketiga, 13:38.604s.
" Jentera kami berada pada keadaan yang begitu baik pada perlumbaan pertama ini. Meskipun kami (PETRONAS Yamaha Maju Motor) masih menggunakan jentera 2014, namun ia sudah diperbaharui dan dipertingkatkan kuasa ke tahap terbaik. Pada masa sama, krew pasukan juga berjaya mendapatkan pelarasan terbaik untuk suspensi jentera," jelas Fazli yang kini mendahului kedudukan keseluruhan pelumba.
Sementara itu, kejayaan cemerlang pasukan Maju Motor bukan hanya di kelas CP130, sebaliknya pelumba muda mereka yang berusia 15 tahun, Kasma Daniel Kasmayudin turut mencipta kejayaan apabila muncul naib juara bagi kategori CP115 setelah menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 11:29.983s.
Pada masa sama, pasukan Motul Yamaha YY Pang meneruskan aksi cemerlang dicapai musim 2014 apabila dua pelumba mereka, Tengku Amirul Haffirudin dan Mohd Izzat Zaidi Salehan menamatkan perlumbaan di atas podium.
Tengku Amirul muncul juara dengan masa 11:25.748s manakala Izzat di tempat ketiga dengan masa 11:31.692s. Manakala, pelumba rookie, Khairul Idham Pawi kecewa apabila terpaksa menamatkan saingan seawal pusingan pertama akibat masalah mekanikal jentera.
Selain itu, saingan kelas Wira menyaksikan Saiful Izman Ahmad Zamani (Felda AFB Tech Caldinals Racing) meraih kemenangan pertama dalam kategori Wira setelah menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa 9:28.930s.
Tempat kedua dimenangi Mohd Harith Farhan Baharin (Kozi Yam Honda Racing) dengan masa 9:29.138s dan ketiga, Nazirul Izzat Mohd Bahauddin (elf KC Racing), 9:30.807s.
Pusingan kedua kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas 2015 pula bakal berlangsung di Batu kawan,Pulau Pinang bermula 11 hingga 12 April 2015.
KEPUTUSAN
CP130
- Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor) 13:30.577s
- Mohd Zamri Baba (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) 13:31.331s
- Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) 13:36.804s
- Elly Idzlianizar Ilias (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) 13:38.733s
- Mohd Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang) 13:38.948s
CP115
- Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang) 11:25.748s
- Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Yamaha Maju Motor) 11:29.983s
- Mohd Izzat Zaidi Salehan (Motul Yamaha YY Pang) 11:31.692s
- Mohd Emir Firdaus Hasan (Jetron Apido Team PJM) 11:32.113s
- Mohd Azam Omar (PETRONAS Yamaha CKJ) 11:32.244s
WIRA
- Saiful Izman Ahmad Zamani (Felda AFB Tech Caldinals Racing) 9:28.930s
- Mohd Harith Farhan Baharin (Kozi Yam Honda Racing) 9:29.138s
- Nazirul Izzat Mohd Bahauddin (elf KC Racing) 9:30.807s
- Amirul Hakim Mohd Rizal (Persendirian) 9:31.045s
- Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Yamalube AHM) 9:31.218s
Leave a Reply