SEMUA tahu, MV Agusta kini sudah bertukar hak pengedar kepada syarikat lain, iaitu Moto Varese Asiatic Holdings Sdn Bhd (MVAH) selaku pengedar rasmi jenama itu di Malaysia. Bagi memulakan momentum jualan model itu di pasaran tempatan, pihak MVAH membawa masuk enam model permulaan. Menurut Pengarah Urusan MVAH, Mohamad Zamry Abu Samah, semua model yang dijual adalah berasaskan versi pemasangan tempatan (CKD).
Optimis dengan pasaran motosikal berkuasa besar, MVAH merancang memasarkan enam lagi model tambahan menjelang hujung tahun ini dengan mempelbagaikan pilihan segmen.
Sempena majlis pelancaran MV Agusta Malaysia Life Style Center, pihak MVAH turut memperkenalkan model Dragster 800RR (2017).
Pastinya versi RR menawarkan kuasa berprestasi tinggi berserta tunggangan mengagumkan. Sebagai makluman, lencana RR hanya disediakan khas buat motosikal 4-silinder milik MV Agusta. Namun, kebelakangan ini MV Agusta mula membuka status lencana RR kepada enjin 3-silinder.
KELEBIHAN MV AGUSTA DRAGSTER 800RR
1. ENJIN
- Enjin 798cc itu hanya seberat 52kg, dan dibina sekompak mungkin. Enjin 3-silinder sebaris itu mengoptimumkan agihan berat, manakala penggunaan aci engkol lawan putaran berupaya meningkatkan prestasi dinamik.
- Kuasa 140hp @ 13,100rpm dicapai hasil rekaan semula kotak udara dan sistem ekzos lebih efisien.
- Perubahan turut dilakukan pada suntikan elektronik yang kini dilengkapi 6 sistem suntikan (dua setiap silinder, berbanding satu suntikan). Hasilnya, hantaran kuasa linear pada rev rendah dan ledakan kuasa pada rev tinggi. Tork juga meningkat daripada 81Nm kepada 86Nm.
- Rekaan semula komponen baru seperti peredam harmoni, rantai klac mekanikal, aci sesondol dan injap material baharu yang menyumbang kepada pengurangan tekanan dan getaran.
- Bunyi bising dikurangkan pada bahagian sisi enjin yang turut berfungsi sebagai pelindung enjin. Aci lawan atau countershaft, penghidup motor dan pemacu gear utama pula bertujuan meningkatkan keutuhan.
- Transmisi 6-kelajuan dikekalkan, cuma rekabentuk gear dikemas kini semula supaya anjakan gear lebih lancar.
2. ELEKTRONIK
- Dilengkapi Kawalan Traksi (TRC) 8-tahap yang berfungsi meningkatkan daya cengkaman ketika di selekoh.
- Menampilkan ciri generasi kedua Sistem Kawalan Bersepadu Motor dan Kenderaan (Motor & Vehicles Integrated Control System - MVICS), Ride-by-Wire dengan tiga mod tunggangan - Normal, Sport, dan Rain - yang boleh dikawal daripada panel hendal.
- Mod kustom membolehkan pemilik mengatur sendiri respon enjin, pengehad rev, respon tork, sensitiviti pendikit dan brek enjin.
- Dragster 800RR turut digabungkan dengan Quickshifter EAS 2.0 yang membolehkan tukaran gear dibuat tanpa menarik klac tangan.
3. CASIS
- Rangka tiub keluli trellis ALS dengan gabungan profil aluminium ringan pada zon belakang sebagai pivot bagi lengan ayun.
- Dilengkapi peredam stereng CRC boleh laras yang mengikut kesesuaian prestasi tunggangan atas trek dan jalan raya.
- Berat jentera 168kg ialah sumbangan penggunaan material karbon dan aluminium pada beberapa bahagian badan Dragster 800RR.
- Menggunakan rim aloi aluminium 17-inci.
- Keselesaan tunggangan dipadankan suspensi terbalik Marzocchi yang diperbuat daripada material karbon seperti berlian (Diamond Like Carbon - DLC) dengan diameter 43mm. Bahagian belakang menggunakan lengan tunggal (single arm) aluminium aloi bersama absorber tunggal atau monoshock.
4. HARGA
- Spesifikasi Euro4, harga atas jalan RM116,000 seunit.
5. PILIHAN WARNA
- Putih/merah
- Merah/hitam
- Kuning/hitam
6. WARANTI
- 2 tahun bersama perbatuan tanpa had.
Leave a Reply